Terhidu Gas Karbon Monoksida Ketika Tidur Dalam Kereta, Punca 3 Sahabat Meninggal Dunia
Seorang lagi rakan mereka yang kritikal masih dirawat dalam ICU.
Seorang lagi mangsa keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, Seberang Jaya meninggal dunia hari ini
Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia pada jam 4.23 petang ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut.
Terdahulu, dua rakannya Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi tadi.
Ketika ini, seorang lagi rakan mereka yang juga kembar kepada Nor Adilah, yang kritikal masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Keempat-empat mereka dipercayai tertidur di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan sebelum lemas akibat terhidu gas karbon monoksida
Menurut Shafee, kejadian berlaku ketika empat sahabat itu berhenti untuk berehat di stesen minyak berkenaan malam tadi.
"Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta Honda Odyssey yang dipandu pasangan kembar berhenti dan parkir di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam.
"Keempat-empat mereka keluar dari kereta untuk membeli makanan dan masuk semula ke dalam kereta," katanya.
Kejadian itu disedari oleh bapa Ayuni Shazwanie yang menemui kereta mereka di lokasi kejadian
Terdahulu, lelaki itu yang tinggal di Kedah keluar mencari anaknya apabila wanita itu tidak pulang ke rumah selepas kali terakhir menghantar mesej kepada ibunya pada jam 9.15 malam.
"Bapa Ayuni Shazwanie menemui kereta yang dinaiki anaknya bersama rakan di stesen minyak itu dan terkejut apabila mendapati enjin kereta masih hidup namun mereka tidak sedarkan diri.
"Bapa mangsa kemudian menghubungi petugas perubatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Beliau berkata, semua mangsa berasal dari Sungai Petani dan Gurun, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang semalam sempena cuti Hari Malaysia.
Katanya, semua mangsa merupakan rakan baik dan belajar di kolej yang sama dalam jurusan farmasi dan kini sedang menunggu hari konvokesyen.
Al-Fatihah dan salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat.
Semoga kejadian ini menjadi pengajaran buat kita semua.