[TERKINI] Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) & Biro Tatanegara (BTN) Mansuh Serta Merta
PLKN telah diperkenalkan pada 16 Februari 2004, manakala BTN ditubuhkan pada tahun 1981.
Kabinet telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN), berkuat kuasa serta-merta, hari ini, 13 Ogos
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, "Bagaimanapun, nasib pegawai, kakitangan dan kakitangan kontrak akan terus dijaga termasuk dibayar gaji selain diserap ke dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"PLKN dan BTN akan diganti dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa depan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.
"Program baharu yang diuruskan KBS itu akan membabitkan penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset," katanya seperti yang dilaporkan akhbar Berita Harian.
Pengisian program baharu itu akan dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti dalam dan luar bangunan berimpak tinggi di samping menyerlahkan potensi anak muda dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
"Elemen yang diterapkan termasuk bina semangat, pembinaan perwatakan dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri serta sosialisasi politik.
"Penambahbaikan ini selaras dengan hasrat KBS yang ingin mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia Baharu," tambahnya lagi.
Menurutnya, program baharu itu akan membabitkan kolaborasi merentasi kementerian dan agensi seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
"Turut terbabit adalah pertubuhan bukan kerajaan termasuk organisasi belia untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan yang berkesan," katanya.
Program yang bakal ditubuhkan ini adalah usaha kerajaan bagi memastikan program dilakukan lebih inklusif, telus dan bebas daripada doktrin politik serta perkauman
PLKN telah diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.
BTN pula merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ditubuhkan pada 1981 untuk memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.