[TERKINI] Sekolah Dibuka Mulai 24 Jun, Semua Guru Akan Kembali Mengajar Murid Peperiksaan
Melibatkan hanya pelajar SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun ini.
Semua jenis sekolah di Malaysia diarahkan tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu
Penguatkuasaan tersebut melibatkan semua prasekolah, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta Institut Pendidikan Guru.
Namun begitu, kerajaan hari ini telah mengumumkan semua sekolah seluruh Malaysia akan dibuka mulai 24 Jun ini
Menurut Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, ia hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini.
Katanya lagi, ia membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.
Selain itu, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa anda tidak perlu menghadirkan diri ke sekolah jika suhu lebih 37.5 darjah Celcius
Sementara itu, kerajaan menetapkan murid yang mencatat bacaan suhu melebihi 37.5 darjah Celcius tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah apabila sesi persekolahan dibuka.
Jelas Mohd Radzi lagi, selepas suhu badan diambil, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang ditetapkan untuk ke kelas masing-masing.
"Ketika di sekolah, katanya, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutama amalan mencuci tangan dengan kerap termasuk sebaik tiba, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah," katanya.
Baca juga artikel berkaitan hanya di SAYS Seismik: