Tiket Bas Ekspres Hanya Akan Dijual Di Terminal Berlesen APAD Mulai 1 November
Difahamkan, arahan itu mengejutkan para pengusaha bas.
Cover image via Harian Metro & New Straits TimesFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengusaha bas ekspres di seluruh negara dilihat sedang berusaha memahami peraturan baharu yang mengehadkan penjualan tiket kepada terminal berlesen bermula 1 November, dengan pihak industri mendakwa mereka tidak dirujuk sebelum perubahan itu diumumkan
Menerusi laporan New Straits Times, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Malaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata persatuan itu telah menerima surat yang memaklumkan mengenai peraturan tersebut namun tidak dilibatkan dalam perbincangan awal bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Beliau berkata arahan itu mengejutkan para pengusaha terutamanya mereka yang telah melabur dalam laman web dan sistem tiket digital sendiri bagi membolehkan penumpang menempah perjalanan secara terus.
"Kami terkejut dengan pengumuman terkini itu memandangkan ramai ahli kami menjual tiket melalui platform mereka sendiri, malah ada yang telah membangunkan laman web yang membolehkan penumpang membeli tiket secara terus," katanya.
Mohamad Ashfar berkata sebelum ini pengusaha mendapatkan kod QR daripada terminal untuk mempercepatkan proses menaiki bas, walaupun penumpang membeli tiket melalui platform milik pengusaha itu sendiri.
Beliau menambah bahawa persatuan itu telah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan APAD bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebab di sebalik perubahan tersebut.
Sebelum ini, penumpang bas ekspres mempunyai tiga cara untuk membeli tiket
Sebelum peraturan baharu itu, penumpang boleh membeli tiket bas ekspres melalui tiga saluran utama iaitu secara terus di terminal, melalui ejen tiket dalam talian atau menerusi laman web pengendali bas.
Mohamad Ashfar berkata perubahan tersebut mungkin memberi kesan kepada pengendali yang telah melabur dalam membangunkan platform tempahan mereka sendiri, walaupun persatuan itu masih belum menerima penjelasan yang jelas berhubung keputusan tersebut.
"Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik perubahan ini. Saya menerima surat itu minggu lepas," katanya.

Menurut satu pekeliling yang dikeluarkan kepada pengusaha bas, arahan baharu tersebut memberikan hak eksklusif kepada terminal bas ekspres untuk menjual tiket kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka
Pekeliling itu menyatakan bahawa pihak terminal akan memikul tanggungjawab penuh terhadap pengurusan perjalanan, pelepasan bas dan urus niaga penjualan tiket.
Ia juga memperkenalkan struktur yuran komersial baharu, yang mana caj bagi perkhidmatan platform digital akan dibilkan terus kepada pengusaha bas ekspres dan bukannya kepada penumpang.
Perubahan ini mungkin menjejaskan cara pengusaha menguruskan penjualan tiket dan aturan tempahan digital mereka, terutamanya bagi pihak yang pada masa ini menjual tiket secara bebas, di luar platform yang dikendalikan oleh terminal.
APAD telah mengesahkan bahawa arahan baharu tersebut dikeluarkan pada 16 Oktober
Walau bagaimanapun, agensi itu menjelaskan bahawa penumpang masih boleh membeli tiket melalui agensi pelancongan dalam talian (OTA) atau laman web pengendali bas, sekiranya terminal berkenaan dimiliki oleh pengendali itu sendiri.
Penjelasan ini menunjukkan bahawa sekatan tersebut akan bergantung sebahagiannya kepada pemilikan terminal, walaupun pihak pengendali sedang mendapatkan perincian lanjut daripada APAD sebelum arahan itu berkuat kuasa pada 1 November.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


