Macam Mana Tak Nak Membazir Di Bulan Ramadan? Baca Tips Urus Duit Ini & Hadam Betul-Betul
Tabiat membazir tak boleh dibiarkan.
Ramadan; walaupun dikenali sebagai bulan paling suci, ia juga merupakan bulan yang merekodkan paling banyak pembaziran
Bukan sekadar pembaziran makanan, wang Ringgit turut tidak terkecuali dalam hal ini. Ramai orang yang sanggup menghabiskan ratusan malah ribuan Ringgit pada bulan Ramadan dalam macam-macam perkara, terutamanya juadah berbuka puasa.
Kalau diikutkan, perbelanjaan pada bulan Ramadan sepatutnya lebih rendah berbanding bulan-bulan lain. Tetapi rata-rata mengalami situasi yang sebaliknya.
Kalau anda juga berhadapan situasi yang sama, sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan terhadap tabiat perbelanjaan
Apa yang perlu dilakukan? Jadikan tips dari pakar kewangan Amir Syahir ini sebagai panduan.
Namun, harus ingat bahawa perubahan tak semestinya perlu dilakukan secara drastik. Bak kata pepatah, "sikit-sikit lama-lama jadi bukit."
Sempena bulan Ramadan kali ini, jadikan tips ini sebagai batu loncatan untuk anda berubah ke arah yang lebih baik, demi masa depan yang lebih terjamin.
Baca perkongsian penuh Amir Syahir di bawah:
Ruang yang terbesar ialah ruang untuk membaiki diri sendiri. Nak membaiki diri sendiri sangat susah jika tabiat buruk sudah sebati dalam diri. Misalnya tabiat berbelanja dengan boros.
Bulan Ramadan ni elok untuk kita berubah. Perubahan tak semestinya perlu berlaku secara drastik kan. Mulakan secara perlahan-lahan. Tapi perlu istiqamah iaitu usaha yang berterusan. Setiap minggu tanamkan azam untuk berubah.
Dalam masa sebulan ni, cuba kau praktikkan benda di bawah ni. Antaranya:
Minggu Pertama:
Minggu pertama kau boleh mula membuat bajet untuk perbelanjaan diri sendiri. Sekurang-kurangnya kau orang tahu aliran duit keluar masuk. Senaraikan aset dan liabiliti. Senaraikan semua hutang yang ada. Jadi, dapatlah potong mana yang tak penting untuk dibelanjakan pada perbelanjaan berikutnya.
Minggu Kedua:
Sebelum nak beli sesuatu barang, cuba buat perbandingan harga. Teliti dulu mana yang lebih berpatutan untuk dibeli. Jangan terus beli je. Barang murah tak semestinya tak berkualiti. Semuanya terpulang kepada kita. Jadilah pengguna yang bijak.
Minggu Ketiga:
Sebelum pergi ke pasaraya, catat dulu barang yang hendak dibeli. Tak perlu gunakan troli barang kalau senarai barang nak beli tu sikit. Gunakan bakul je. Amalkan 10 saat berfikir sebelum letak barang dalam bakul. Jika nak beli kehendak atas daripada RM500 ataupun terpaksa berhutang, fikir 30 hari sebelum ambil keputusan muktamad. Supaya tiada penyesalan di masa depan.
Minggu Keempat:
Catat semua perbelanjaan. Walaupun setiap sen. Kalau setiap kali berbelanja makan RM10.10, 10 sen tu kena tulis juga. Jangan abaikan. 10 sen bocor. Kalau 10 kali dah RM1. Fikir-fikirkan. Bercintalah dengan aplikasi yang kau mudah untuk kesan aliran duit keluar masuk wang kau.
Ikut segala peruntukan bajet belanja kau, Tak guna ada telefon pintar kalau kau malas nak buat bajet. Paling simple kau buat group dekat WhatsApp dan tulis (-RM30) untuk duit keluar.
Tips bonus urus kewangan:
1. Kalau nak makan fast food ataupun tempat hipster cukup sebulan sekali sahaja. Lagipun tak bagus untuk kesihatan kalau selalu makan fast food ni.
2. Buat tabung RM20 (Si Oren) dan RM5 (Si Hijau). Seronok menyimpan dengan cara ni. Rasa excited bila tengok tabung dah mula penuh dengan duit berwarna. Tak percaya, kau cubalah.
3. Kurangkan kehendak. Tangguhkan kehendak dan jangan berhutang demi kehendak. Mungkin sebelum-sebelum ni, kau tak dapat kawal diri kan nak beli itu ini. Kalau rasa kasut masih elok, tak payah beli yang baru. Prinsip gua, guna sampai habis, pakai sampai rosak. Jangan tiap-tiap kali buka dompet serupa tumbuk bawang je.
4. Semak semula perbelanjaan kau. Baiki mana yang kurang. Kiraan kos diluar jangka. Muhasabahlah diri sendiri. Lihat kewangan kita. Janganlah bersedih orang lain dah kaya, hidup senang. Yakinlah kita berusaha mesti akan dapat capai kesenangan juga satu hari nanti. Yang penting perubahan.
5. Masak sendiri di rumah. Lebih berkhasiat dan terjamin kebersihannya. Jika makan diluar, pilih restoran biasa.
6. Belajar tutup lampu / air jika tidak digunakan. Baiki setiap paip yang bocor. Kau akan jimat nanti. Kalau kau sekeluarga duk lepak ruang tamu, tutuplah air cond dalam bilik tu.
7. Berhenti beli majalah pasal artis. Kau je nak tahu cerita artis. Sedangkan artis kesayangan kau tak kisah dan tak peduli ke kau pun.
Jadilah orang yang bijak merancang kehidupan. Jika kau orang gagal untuk merancang, kau orang merancang untuk gagal sebenarnya. Ayuh, sama-sama kita berubah ke arah kehidupan yang lebih baik. Kah!
Boleh share jika manfaat. Terima Kasih ya.