seismik

14 Tabiat Malas Rakyat Malaysia Yang Membazirkan Wang

Sikap pemalas memang merugikan.

Cover image via REUTERS

Tahukah anda, sikap malas juga akan mendatangkan kos keatas kesihatan kewangan anda?

Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui apakah sikap-sikap tersebut. Jika anda ada mengamalkannya, hentikan segera.

Artikel ini adalah terbitan CompareHero.my yang disadur semula ke laman web SAYS atas kebenaran.

1. Tidak membuat simpanan secara automatik

Image via pinimg.com

Anda sudah tentu banyak kali mendengar tentang kepentingan menyimpan wang. TETAPI, adakah cara anda menyimpan wang itu betul?

Jangan simpan selepas anda berbelanja. Simpan dahulu, kemudian baru belanja dan guna wang selebihnya.

Anda sepatutnya memperuntukkan sebahagian daripada gaji anda untuk simpanan setiap bulan. Kemudian, baki dari simpanan itu yang digunakan untuk perberlanjaan bulanan.

Antara cara berkesan untuk memudahkan simpanan ialah dengan mengaktifkan simpanan automatik. Gunakan fungsi transaksi berulang (recurrent transaction) untuk mendepositkan simpanan anda pada tarikh yang sama setiap bulan (contohnya, hari gaji dibayar). Dengan cara ini, anda boleh fokus pada perkara lain, dan yakin simpanan anda akan dilaksanakan setiap bulan.

Selain itu, pilihan akaun simpanan yang betul akan menambah nilai kepada simpanan anda. Sebelum membuka akaun simpanan, periksa dan bandingkan kadar faedah yang bakal anda terima. Sebagai panduan, pilih akaun simpanan yang memiliki kadar faedah yang lebih tinggi dari kadar inflasi semasa. Boleh rujuk senarai ini untuk mengetahui akaun simpanan terbaik di Malaysia.

Tip: Peruntukkan sekurang-kurangnya 20% dari jumlah gaji anda untuk simpanan.

2. Tiada pengetahuan tentang kewangan peribadi

Pengurusan kewangan peribadi mungkin tidak begitu menyeronokkan dan kedengaran seperti membosankan. Tetapi, memahami konsep asas ekonomi akan membantu anda dalam membuat keputusan berkaitan dengan pilihan pelaburan, simpanan, perbelanjaan, dan sebagainya.

Lebih memburukkan keadaan, hanya 36% rakyat Malaysia yang celik ilmu kewangan, hasil kaji selidik 'S&P Global Financial Literacy' ke atas 150,000 individu dari 143 negara.

Anda tidak perlu mencapai tahap sehingga mampu menganalisa dan meramal pergerakan saham. Namun mempunyai asas kepada pengetahuan kewangan boleh membantu untuk menguruskan kewangan peribadi anda dengan lebih baik.

Salah satu cara untuk menambah baik ilmu kewangan ialah dengan membaca. Berikut merupakan cadangan kami:

1. 'Rich Dad, Poor Dad' oleh Robert Kiyosaki
2. 'Think and Grow Rich' oleh Napoleon Hill
3. 'The Richest Man in Babylon' oleh George Samuel Clason

3. Tidak menggunakan kad kredit dengan betul

Menggunakan kad kredit dengan betul boleh membantu anda untuk mencapai penjimatan melalui rebat tunai dan diskaun khas untuk pemegang kad. Anda juga boleh menggunakan kad kredit untuk menjimatkan pembelian tiket penerbangan dengan kad kredit Air Miles. Malah, kad kredit yang menawarkan juga boleh membantu anda berjimat di mana ia boleh ditebus untuk alatan elektronik, baucar, dan banyak lagi.

Tetapi, anda hendaklah berdisiplin dalam menggunakan kad kredit, dari segi penggunaan dan juga pembayaran baki tertunggak. Secara idealnya, gunakan kad kredit untuk perbelanjaan di sekitar kemampuan anda. Dari segi pembayaran bil tertunggak, pemegang kad seharusnya melangsaikan bayaran penuh dalam tempoh 20 hari bebas faedah, bukannya hanya membuat bayaran minimum.

Selain itu, gunakanlah kad kredit yang sesuai dengan perbelanjaan anda. Contohnya, jika anda selalu membeli-belah, pilih kad kredit dengan rebat tunai. Bagi mereka yang selalu menggunakan penerbangan, kad Air Miles lebih sesuai. Untuk yang inginkan kad kredit asas pula, pilih kad kredit yang tiada yuran tahunan. Penggunaan kad kredit akan membantu untuk menjimatkan perbelanjaan, di mana ianya bakal membantu anda untuk membuat perbelanjaan dengan nilai yang besar, bukannya semakin membebankan anda dengan hutang.

Tip: Jangan anggap kad kredit sebagai wang tambahan, lantas gunakannya dengan berhemah.

4. Tidak merekodkan perbelanjaan

Salah satu ciri individu yang celik kewangan ialah bukan sahaja dari segi berbelanja, bahkan juga cara merekodkan perbelanjaan.

Seperti mana yang dinasihatkan oleh Peter Drucker, “Apa yang direkod, mudah diurus”. Merekodkan perbelanjaan akan membantu anda untuk menganalisis perbelanjaan-perbelanjaan yang melebihi anggaran, dan apa yang boleh dipotong.

Sudah tentulah agak sukar untuk merekodkan perbelanjaan setiap hari. Gunakan aplikasi-aplikasi seperti Level Money atau Spendee untuk membantu anda. Merekodkan perbelanjaan juga akan memupuk sikap untuk berjimat cermat, dan mengelakkan perbelanjaan melulu, terutamanya setelah melihat kesannya ke atas bajet anda.

5. Tidak membawa bekal makan

Mungkin jumlah yang dijimatkan kecil sahaja, tetapi cuba lihat dari perspektif yang lebih menyeluruh. Secara puratanya, perbelanjaan makan tengah hari ialah sekitar RM7 – RM10 sehari, mungkin tanpa minuman. Didarabkan dengan 20 hari bekerja (jika anda bekerja 5 hari seminggu), jumlah minimanya ialah RM200 sebulan. Tetapi, jika anda membeli bahan-bahan basah dan membawa bekal ke tempat kerja, perbelanjaan makan tengah hari anda mungkin hanya RM100 sebulan. Penjimatan RM100 amat signifikan dalam keadaan ekonomi semasa ini.

Sebagai permulaan, anda boleh sediakan bekal untuk setengah bulan pertama, dan beli makan tengah hari untuk hari-hari yang lain. Tidak ada peraturan yang khusus, maka sediakan jadual yang sesuai dengan selera anda, supaya anda tidak bosan dengan bekal yang anda bawa.

6. Tidak menabung untuk hiburan

Image via wanderlust dj

Aktiviti simpanan secara terus-menerus tanpa sebarang "rehat" akan membuatkan anda bosan. Tetapi, hiburan yang melampau akan merosakkan bajet anda.

Untuk tujuan ini, apa kata anda sediakan satu tabung yang khusus untuk tujuan hiburan, ataupun sebagai ganjaran sekiranya anda mencapai sasaran simpanan. Jika anda ingin berhibur, gunakan wang dari tabung ini. Penyediaan tabung ini juga akan memudahkan proses merekod perbelanjaan dan tidak akan mendatangkan kesan serius ke atas simpanan anda.

Malah, mengapa harus berhenti dengan tabung hiburan sahaja? Sediakan tabung-tabung untuk tujuan berbeza, seperti tabung untuk melancong, membeli gajet baru, berkahwin, dan sebagainya.

7. Menangguh kerja sehingga tarikh akhir

Image via SAYS

Tabiat menangguh-nangguhkan kerja akan turut mendatangkan kesan ke atas status kewangan anda, terutamanya dalam membuat pembayaran kad kredit, pinjaman, dan juga cukai. Anda mungkin dikenakan caj bayaran lambat, dikejar oleh pemiutang, malah didenda.

Contohnya, jika anda bertangguh dan melengkapkan borang LHDN sehingga tarikh akhir, anda mungkin tidak sedar akan kesilapan yang anda lakukan. Disebabkan ini, anda mungkin akan didenda. Mungkin anda tidak sengaja, kerana tergesa-gesa untuk melengkapkan borang tersebut sebelum tarikh akhir. Tetapi lakukannya berulang kali dan ianya akan menelan kos yang banyak.

Tahukah anda juga, jika anda bertangguh dalam membayar cukai, dan terlepas tarikh bayaran, anda akan dicaj tambahan 10% dari jumlah cukai yang dibayar. Selain itu, terlepas tarikh akhir dalam menyelenggara kereta juga akan mendatangkan kos tambahan, sekiranya ada kerosakan yang perlu ditanggung tanpa penyelenggaraan berkala.

8. Menyimpan barang yang tak diperlukan

Image via cbsistatic.com

Mungkin ada di antara kita yang masih lagi menyimpan barang-barang yang tidak diperlukan di rumah, tetapi tahukah anda yang perbuatan tersebut boleh mendatangkan kos kepada anda? Malah, anda juga terlepas peluang untuk mendapatkan wang tambahan.

Jika sempat, ambil masa untuk periksa barang-barang yang tidak diperlukan di rumah, dari segi kualiti dan keadaannya. Jika masih boleh digunakan, jangan buang, sebaliknya jual sahaja! Ada banyak pilihan, dari car boot sale dengan sewa tapak serendah RM15, atau laman-laman web seperti Carousel dan Mudah.my. Jika anda perlukan wang segera, pilih alternatif Cash Converter yang akan membeli barangan terpakai anda pada harga yang dipersetujui. Dengan ini, ruang tempat tinggal menjadi lebih luas, dan anda boleh menjana wang tambahan!

9. Malas membuat bayaran balik hutang

Image via raikankasih.com

Jangan ambil ringan dengan bayaran hutang! Lambat laun, kadar faedah yang tinggi dan terkumpul akan menyebabkan hutang anda berlipat kali ganda.

Ambil contoh kad kredit. Di Malaysia, kadar maksimumnya ialah 18% setahun. Dan jika anda lambat membuat bayaran, kadar yang lebih tinggi akan dikenakan, ditambah lagi dengan caj bayaran lambat!

Jika anda rasa terbeban dengan hutang, menangguhkan bayaran bukanlah penyelesaian. Berbincanglah dengan pemiutang anda untuk menstrukturkan bayaran balik yang lebih fleksibel. Bank biasanya akan bertolak ansur demi menggalakkan individu membayar hutang. Ataupun, anda boleh minta bantuan dari AKPK.

10. Malas membandingkan harga barang / servis

Image via SAYS

Amat mudah untuk membeli barang begitu sahaja tanpa membuat perbandingan. Tetapi, bandingkan harga akan dapat membantu anda membuat pilihan yang lebih bijak.

Tentunya membuat perbandingan akan mengambil sedikit masa, tetapi kini terdapat banyak platform perbandingan yang boleh membantu. Sebagai contoh, platform percuma SmartShopper Malaysia yang mencari tempat termurah untuk anda membeli barang. Jika anda ingin mencari tawaran terbaik untuk beras, cari sahaja menggunakan aplikasi itu.

Selain barangan, anda juga perlu membuat perbandingan untuk menggunakan servis-servis lain, seperti kad kredit ataupun pinjaman. Bandingkan dari segi yuran tahunan, faedah, dan kadar faedah yang ditawarkan supaya sesuai dengan anda.

11. Tidak menjaga kereta

Image via utusan.com.my

Pastikan anda servis kereta mengikut jadual yang ditetapkan. Ini bagi mengelakkan kos pembaikian yang lebih tinggi di masa akan datang. Penjagaan berkala mengikut jadual yang ditetapkan adalah untuk memastikan prestasi kereta anda terjaga, sebelum tiba waktu servis yang seterusnya. Sewaktu servis, pastikan ianya meliputi penukaran minyak enjin, penapis udara, penghawa dingin, dan palam pencucuh. Jika prestasi kereta anda terjaga, penggunaan minyak juga lebih efektif dan menjimatkan. 

12. Mengabaikan skor kredit

Image via Bank Bazaar

Prestasi skor kredit juga boleh membantu menjimatkan wang. Jika ia terabai, bermakna kewangan anda mungkin ‘sakit’. Mengapa? Ini bermakna anda mengabaikan tindakan kewangan sewenang-wenangnya.

Dengan skor kredit yang buruk, anda mungkin dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi, kerana institusi kewangan menganggap permohonan anda berisiko. Kadar kelulusan untuk produk kewangan juga mungkin rendah, malah ditolak! Salah satu cara untuk menambah baik skor kredit ialah dengan membuat bayaran tepat pada masanya.

Ianya mengambil masa 6 bulan sebelum skor kredit anda pulih dari tindakan anda. Ketahui langkah-langkah lanjut yang boleh diambil untuk menambah baik skor kredit di sini.

13. Tidak menjaga kesihatan

Image via roketkini.com

Anda mungkin rasa membazir masa untuk membuat pemeriksaan kesihatan selalu. Namun, kesan mengabaikan pemeriksaan ini adalah lebih besar berbanding waktu yang terbazir untuk anda gunakan untuk menjalani pemeriksaan.

Jangan abaikan jika anda ada rasa sakit-sakit. Jumpa doktor segera, dan mana tahu simptom tersebut merupakan tanda-tanda penyakit yang lebih kronik. Jika lambat dirawat, mungkin ianya lebih buruk, dan kos rawatan juga lebih tinggi, terutamanya jika insurans anda tidak meliputi penyakit tersebut. Rujuk disini untuk mengetahui panduan akan insurans kesihatan.

14. Tidak memeriksa penyata kad kredit

Image via amazonaws.com

Tahukah anda tentang tempoh percubaan percuma kad kredit selama sebulan? Dan tahukah anda juga, sesetengah kad kredit memerlukan anda untuk memohon pembatalan secara manual selepas tempoh tersebut tamat?

Jika anda mengabaikannya, anda mungkin dikenakan caj berlebihan.

Inilah juga tujuannya untuk memeriksa penyata kad kredit setiap bulan. Selain itu, ia juga boleh membantu anda untuk memeriksa kos-kos tambahan jika ada. Sesetengah bank mengenakan tempoh bebas faedah yang berbeza, dari 14 hingga 20 hari untuk membuat aduan jika ada kos yang anda ras dicaj berlebihan. Lebih dari tempoh tersebut, ianya tidak dilayan.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Setuju atau tidak?

Kalau kena dengan cara, mesti boleh dapatkan!

You may be interested in: