seismik

5 Maut Dalam Kebakaran Pusat Jagaan Orang Tua, Siasatan Menemui Pusat Jagaan Tiada Permit

Pemilik dipercayai seorang warga asing.

Cover image via Berita Harian

Sembilan orang berada dalam Pusat Jagaan Novel Care Home Centre ketika kebakaran jam 4.50 pagi tadi di Sungai Long, Kajang

Memetik laporan Kosmo, empat daripada mereka telah berjaya diselamatkan termasuk seorang cedera. Lelaki berumur 28 tahun di antara yang maut bersama 4 warga emas di pusat jagaan orang tua itu.

Lokasi kebakaran yang meragut lima nyawa.

Image via Kosmo

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.06 pagi

"Seramai 13 anggota dan dua pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran terbabit.

"Kebakaran itu membabitkan sebuah rumah banglo dua tingkat yang dijadikan sebagai pusat jagaan orang tua," katanya kepada Berita Harian.

Katanya, terdapat empat mangsa yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

"Usaha mencari mangsa dijalankan. Pihak kami menemui empat mangsa di tingkat bawah manakala seorang mangsa lagi ditemui di tingkat atas rumah berkenaan," katanya lagi.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) mengesahkan rumah banglo dua tingkat yang dijadikan pusat jagaan orang tua itu bagaimanapun tidak memiliki permit

Image via Berita Harian

Kaunselor MPKJ, Lai Wa Cheong berkata, semakan rekod pihaknya mendapati pemilik pusat jagaan terbabit tidak pernah memohon permit untuk menjalankan operasi jagaan berkenaan.

"Sebuah pusat jagaan orang tua swasta memerlukan permit untuk beroperasi. Bagaimanapun, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada pemilik pusat jagaan terbabit.

"Setakat ini, kami masih menunggu rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada pemilik pusat jagaan itu ada merujuk perkara terbabit kepada JKM," kata Lai Wa Cheong kepada Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, berdasarkan maklumat awal, pemilik pusat jagaan itu dipercayai seorang warga Pakistan

"Kami sedang menyiasat sama ada premis ini diberi kebenaran untuk beroperasi daripada JKM atau pihak berkuasa tempatan.

"Selain itu, jabatan siasatan forensik polis dan bomba masih menyiasat punca kejadian yang bermula dari tingkat bawah rumah banglo dua tingkat berkenaan.

"Berdasarkan maklumat awal diperoleh, kami mendapati pusat jagaan itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan disewa dengan harga RM6,000 sebulan," katanya.

Tonton video penuh laporan kebakaran di bawah:

Salam takziah kami ucapkan buat semua ahli keluarga mangsa. Al-fatihah...

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

September lalu, kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah menggemparkan seluruh negara. BACA SINI:

You may be interested in: