seismik

Bosan Ke Bangkok, Saya Heret Mak Ayah Saya Travel Cara 'Backpackers' Ke Kanchanaburi

Bukan senang nak tengok mak ayah saya melancong cara 'backpackers'.

Cover image via TSG #KasiJadi

"Ayah OK? Mama OK?"

Inilah soalan yang saya asyik tanya je sepanjang perjalanan di Kanchanaburi dan Bangkok.

Maklumlah, mak ayah saya dah berumur, kena pulak ikut si anak ni travel cara backpacker ke sana sini. Mestilah penat sikit kan? Saya pun rasa letih apatah lagi diorang. Tapi nasib baik mak ayah saya ni jenis yang selalu travel. Jadi tak ada masalah sangat.

Si anak, si mak, dan si ayah.

Image via TSG #KasiJadi

Mula-mula plan nak pergi Bangkok je sebenarnya. Tapi disebabkan saya ni jenis yang tak suka travel ke bandar-bandar besar yang sesak, saya pun mulalah buat itinerari lain.

"Apa benda je yang aku boleh buat kat Bangkok selain melawat temples dan cruising di Chao Praya River?"

Soalan ini selalu sangat menerjah dalam kepala saya. Beli flight tickets ke Bangkok pun sebab masa tu ada promosi dan dapat murah, bukan sebab nak pergi sangat. RM160 je harga tiket pergi balik. Beli bulan Mac 2015, travel bulan April 2016. Setahun lebih jugaklah lamanya. Kalau tak ambil kesempatan rasa macam rugi pulak.

Jadi, saya pun mulalah tanya kawan-kawan dan buat research sendiri pasal Bangkok dua bulan sebelum terbang. Ada dua pilihan sama ada nak pergi Pattaya atau Kanchanaburi.

Naik bot di Chao Praya River.

Image via TSG #KasiJadi

MBK Mall di Bangkok.

Image via TSG #KasiJadi

Kalau pergi Pattaya boleh mandi laut, boleh snorkeling, boleh buat parasailing, dan macam-macam lagi. Pantai pun not bad.

Saya memang suka laut, tapi saya ambil keputusan untuk tak pergi Pattaya. Kenapa?

Sebab Kanchanaburi has so much things to offer. Jujurnya, saya macam tak pernah dengar pun Kanchanaburi sebelum ni. Saya syak orang Malaysia mesti tak ramai yang pernah pergi.

Nak tahu dengan lebih lanjut, saya cuba tanya soalan pasal tempat ni di satu travel group di Facebook. Apa yang saya dapat? Nothing! Tak ada orang pun respon. Dari sini saya tahu memang sah lah orang kita tak pernah pergi Kanchanaburi. Semuanya pergi Bangkok untuk shopping, satu aktiviti yang saya memang tak minat nak buat masa travel.

Tempat-tempat yang rare macam ni lagilah saya suka nak explore! Mesti kena #kasijadi ni. Saya senaraikan beberapa aktiviti yang sempat saya dan mak ayah saya buat sepanjang berada di sana:

Thamkrasae Bridge di Death Railway. Yang ni sangat awesome!

Image via neekungchi/pixabay

Berjalan-jalan di Thamkrasae Bridge.

Image via TSG #KasiJadi

Keretapi lama Death Railway.

Image via TSG #KasiJadi

Seronok betul dapat duduk di resort terapung atas River Kwai ni.

Image via TSG #KasiJadi

Pergi mana-mana mesti naik Jeepney sampai berjam-jam. Cuaca panas-panas tak dapat aircond pun.

Image via TSG #KasiJadi

Erawan Falls ni cantik jugak. Tapi indah gambar dari rupa.

Image via TSG #KasiJadi

Kolam 7 Erawan Falls.

Image via TSG #KasiJadi

Sedikit fakta mengenai Kanchanaburi dan trip kami bertiga:

1. Kanchanaburi terletak kira-kira 150 kilometer ke arah barat Bangkok dan mengambil masa lebih kurang 2 jam (naik minivan) atau 3 jam (naik keretapi) untuk sampai.

2. Kalau dari Malaysia, kena naik flight ke Bangkok. Dari airport, ambil teksi ke Thonburi Station (1 jam++) kalau nak naik keretapi. Kalau nak naik minivan, ambil teksi ke Victory Monument. Di situ ada kaunter tiket minivan ke Kanchanaburi.

3. Harga naik minivan 120 Baht sekepala, harga naik keretapi 100 Baht sekepala.

4. Tak banyak ada kedai makan Halal. Kena mintak tolong orang tempatan carikan.

5. Sepanjang berada di Kanchanaburi, pengangkutan utama yang kami guna ialah Jeepney. Pergi ke sana ke mari semua naik Jeepney.

6. Ada banyak tempat menarik boleh dilawati, kebanyakannya nature. Yang saya sempat pergi hari tu ialah Erawan Falls, Thamkrasae Bridge, dan naik keretapi.

7. Keretapi di Kanchanaburi diberi nama Death Railway kerana pembinaan laluan ini pada zaman 30-40an telah mengorbankan ribuan nyawa.

8. Kanchanaburi terkenal dengan chalet, hotel, dan resort terapung sepanjang River Kwai. Sungai ni sangatlah panjang dan bersih. Ada berlambak-lambak resort terapung yang anda boleh pilih.

9. Di Thailand, Kanchanaburi merupakan wilayah no 1 paling panas dengan suhu mencecah 40 darjah celsius dan ke atas. Memang panassss!

10. Kualiti jalan di Thailand memang world class! Walaupun Kanchanaburi ni under developed atau kampung, jalan raya sangat smooth dan susah betul nak jumpa lubang. Naik jeepney pun selesa tak ada gegar-gegar.

Macam biasalah bila travel, mesti akan ada benda yang tak mengikut plan asal kita. Baca perjalanan kami di bawah.

1. Perjalanan 12 jam bermula!

Ya, 12 jam! Belum gerak lagi saya dah rasa serba salah kat mak ayah saya. Pukul 6.15 pagi dah gerak ke KLIA2. Pukul 6.30 petang barulah sampai ke hotel di Kanchanaburi selepas 12 jam perjalanan. Barai. Tapi bila sampai hotel terus rasa excited sebab hotel terapung atas sungai ni sangatlah cantik Nora kasi 5 bintang!

Check-in di Boutique Raft Resort, Kanchanaburi.

Image via TSG #KasiJadi

Haaa nampak tak muka excited tu.

Image via TSG #KasiJadi

Breakfast with a view katanya. Nasib baik hotel ni sediakan nasi goreng sayur dan telur. Boleh makan sampai kenyang.

Image via TSG #KasiJadi

2. Flight delay setengah jam dan terlepas keretapi

Flight sepatutnya bertolak pukul 10.45 pagi. Tapi delay pulak setengah jam jadi terpaksa terbang pukul 11.15 pagi. Sampai di Bangkok pukul 12.15 tengahari waktu Thailand (sana lambat sejam). Nak kena kejar train pukul 2pm. Beratur imigresen punyalah panjang, punyalah ramai orang. Pukul 1.15pm baru settle baru boleh ambil teksi. Malangnya tak sempat sebab nak pergi ke Thonburi Station makan masa sejam atau lebih.

Mula-mula confident sempat sebab kat Tripadvisor semua orang cakap pergi stesen tu setengah jam je dari airport. Tapi kaunter teksi tu cakap sejam sebab jauh. Tak sempat kejar train, kami terpaksa gunakan plan B.

Kaunter teksi di Don Mueang Airport.

Image via TSG #KasiJadi

3. Plan B, naik minivan tak ada aircond selama 2 jam

Kami pun ambil jugalah teksi, tapi ke Victory Monument untuk dapatkan minivan di sana. Masa diambil dalam setengah jam. Sampai-sampai terus cari kaunter tiket minivan. Mula-mula macam blank jugak sebab tak tahu kaunter kat mana dan orang sana tak pandai cakap English. Tapi bila cakap je 'Kanchanaburi', diorang akan tunjukkan kaunter. Sampai kaunter pukul 1.50pm, minivan bertolak pukul 2.20pm. Cantik timing.

Victory Monument.

Image via TSG #KasiJadi

Cari kompleks ni, masuk kat bawah sebelah 7E tu untuk beli tiket.

Image via TSG #KasiJadi

Ini kaunter ke Kanchanaburi. Harga sekepala naik minivan ialah 120 Baht. Akak tu langsung tak nak senyum. Sambil jual tiket sambil kunyah makanan.

Image via TSG #KasiJadi

4. Lepas naik minivan, kena pulak naik jeepney untuk ke hotel. Tambah lagi sejam!

Naik minivan ni rupa-rupanya sampai kat stesen bas je. Tu pun dalam kawasan bandar Kanchanaburi. Bila tunjuk alamat hotel, barulah tahu hotel kami sebenarnya jauh ke ceruk dan kena tambah lagi sejam baru boleh sampai, bukan kat kawasan bandar. Hmmm kesian kat mak ayah saya. Ingatkan dah boleh berehat kat hotel. Sob Sob :'(

Ada banyak jeepney kat sini. Turun je dari van terus kena serbu.

Image via TSG #KasiJadi

On the way nak ke hotel, singgah makan sat kat restoran Halal. Dekat je dengan stesen bas. Makanan sedap dan kedai bersih gila.

Image via TSG #KasiJadi

Siap ada surau dalam restoran.

Image via TSG #KasiJadi

5. Naik jeepney lagi keesokan harinya dan sedikit hiking di Erawan Falls

Disebabkan hotel kami di kawasan ceruk kampung, jadi kami tak ada pilihan selain menggunakan jeepney untuk ke mana-mana. Hari kedua kami pergi ke Erawan Falls yang terletak kira-kira satu jam dari hotel.

Erawan Falls ni ada 7 tingkat. Nak sampai ke tingkat 1 kena jalan 30 minit. Nak ke tingkat 2 tambah lagi 10 minit, ke tingkat 3 lagi 10 minit. Maka menapak lah kami bertiga sehingga ke tingkat 3 di bawah terik mentari yang menyinar. Ada jalan naik bukit sikit, naik tangga sikit. Sampai di tingkat 3, mak ayah saya pun cakap, "Kalau nak pergi tingkat 7 just go ahead. Kami tunggu kat sini je. Tak larat dah."

"Okay." Dan saya pun teruskan langkah saya menuju puncak.

Nak sampai ke tingkat 7 ni ada lah dalam sejam lagi naik atas. Trail tak susah pun.

Image via TSG #KasiJadi

Turun semula ke tingkat 3 untuk bermandi-manda. Sini best!

Image via TSG #KasiJadi

6. Akhirnya, sampai jugak ke Thamkrasae Bridge, tempat yang kami nak pergi sangat

Bergerak pula ke Thamkrasae Bridge yang terletak lebih kurang satu jam dari Erawan Falls. Jambatan ni amazing gila! Masa zaman pembinaan dulu, bukit ni terpaksa dipecahkan dan dibom demi memberi ruang untuk membina jambatan ini. Maka ramailah buruh paksa dan banduan yang dikerah tenaga oleh Jepun pada waktu Perang Dunia Ke-2 sehingga mengakibatkan kematian kira-kira 90,000 orang. Sebab itulah ia diberi nama Death Railway.

Kagum bila tengok pada binaan autentik kayu dan konkrit yang masih lagi kukuh sampai sekarang. Tak dapat bayangkan macam mana diorang bina dulu. Lokasi Thamkrasae Bridge di tepi River Kwai menjadikannya lebih istimewa. Puas hati dapat pergi sini.

Laluan keretapi ni dibina pada tahun 30-40an dan sampai sekarang masih lagi digunakan.

Image via TSG #KasiJadi

Two thumbs up!

Image via TSG #KasiJadi

On the way nak ke Thamkrasae Bridge ada restoran Halal dan masjid mini. Singgah kejap untuk lunch dan solat.

Image via TSG #KasiJadi

7. Keretapi seawal jam 5.20 pagi yang masih gelap gelita dan perjalanan ke Bangkok selama 5 jam!

Hari ke-3, kami bangun pukul 4 pagi. Pukul 5 nak kena gerak ke Nam Tok Station. Nasib baik 10 minit je dari hotel. Malam sebelum tu, kami dah deal dengan receptionist untuk keluar awal dan receptionist tu jugak dah call teksi siap-siap suruh ambil kami pukul 4.50 pagi kat hotel. Servis free of charge memang hotel sediakan.

Sementara tunggu teksi, mak ayah saya sempat solat subuh di lobi hotel. Masa tu tak ada orang langsung, sunyi, dan memang gelap gelita. Saya pulak solat masa dalam train. Kami sampai di Nam Tok Station pukul 5 pagi dan kemudian naik train pukul 5.20 pagi. Perjalanan dari Nam Tok ke Bangkok memakan masa selama 5 jam!

Walaupun 5 jam, train ni tak bosan. Sepanjang perjalanan boleh layan pemandangan yang cantik. Ada sawah padi, gunung-ganang, tanah lapang, sungai-sungai, dapat lalu atas Thamkrasae Bridge, lalu atas River Kwai Bridge, dapat layan sunrise, dan macam-macam lagi. Satu pengalaman yang sangat berharga bagi saya sebab saya tak pernah naik train KTM yang long distance tu. Hehe

Train belum sampai masa ni.

Image via TSG #KasiJadi

Masa lalu atas Thamkrasae Bridge ni keretapi gerak perlahan gila. Rasanya dalam 30km/j je kot.

Image via TSG #KasiJadi

Breathtaking sunrise from inside the train.

Image via TSG #KasiJadi

Itu saja rasanya. Nak kongsi sedikit tips yang mungkin berguna untuk siapa-siapa yang nak pergi ke Kanchanaburi:

1. Kalau dari Bangkok, saya nasihatkan untuk pergi ke Kanchanaburi naik minivan dulu. Balik nanti baru naik keretapi. Sebab apa?

2. Sebab, bila naik jeepney ke hotel, boleh terus deal dengan driver jeepney tu untuk bawak kita pergi ke tempat-tempat menarik. Esoknya dia akan datang balik ke hotel untuk pick up kita. Harga boleh nego.

3. Kalau naik train, kemungkinan bila dah sampai stesen kita terus akan ambil teksi untuk ke hotel. Bila dah sampai hotel, tak ada pilihan lain dah selain ambil pakej dari mereka. Harga 3 kali ganda lebih mahal! No nego.

4. Macam saya punya kes, hotel saya di ceruk kampung. Jadi susah untuk cari pengangkutan lain selain jeepney. Kalau hotel di bandar, mungkin berbeza sikit ceritanya.

5. Ada hikmah jugak kenapa kami terlepas train. Kalau tak, mesti kami tak dapat naik jeepney dan terpaksa ambil pakej hotel yang mahal tu.

6. Ada hikmah jugak lokasi hotel kami jauh dari bandar. Sebab lokasi hotel tu dekat dengan Erawan Falls (1 jam) dan Thamkrasae Bridge (25 minit). Kalau duduk hotel kat bandar, nak pergi Erawan Falls je dah makan masa 2 jam lebih.

Bersama driver jeepney kami. Lupa pulak namanya siapa. Dia ni sangat baik. Kami makan dia tunggu, kami solat dia tunggu, kami pergi Erawan Falls sampai 3 jam lebih pun dia tunggu. Terima kasih banyak bro!

Image via TSG #KasiJadi

Projek Kanchanaburi #kasijadi dah jadi. Syukur.

Itinerari dan kos:

Hari Pertama
Flight Air Asia ke Bangkok = RM480 untuk 3 orang
Teksi dari airport ke Victory Monument = 270 Baht
Minivan dari Victory Monument ke bandar Kanchanaburi = 360 Baht untuk 3 orang
Jeepney dari bandar Kanchanaburi ke Boutique Raft Resort = 900 Baht (boleh nego lagi)
Dua malam di Boutique Raft Resort = +- RM500 including breakfast
Makan minum dan lain-lain = +- RM150

Hari Kedua
Jeepney ke Erawan Falls dan Thamkrasae Bridge = 1700 Baht (boleh nego lagi)
Pas masuk ke Erawan National Park = 330 Baht untuk 3 orang (kalau tak silap)
Makan minum dan lain lain = RM80

Hari Ketiga
Death Railway ke Bangkok = 300 Baht untuk 3 orang

Kos keseluruhan (ALL IN) = RM1,650 untuk 3 orang

Kos seorang = RM550 sahaja!

Banyak lagi boleh cut cost sebenarnya. Kalau boleh nego lagi harga dengan driver jeepney, boleh dapat lagi murah. Hotel pun, banyak je hotel untuk backpackers di sepanjang River Kwai. Saya pilih hotel yang best dan mahal sikit sebab pergi dengan mak ayah. Lepastu makan pun banyak boleh jimat kalau masak sendiri.

Okay enough talking and reading. Jom layan video travel saya ke Kanchanaburi!

Follow kami di Instagram @tsgkasijadi untuk lebih banyak adventure dan gambar-gambar yang WOW!

TSG #KasiJadi adalah sekumpulan sahabat yang tak henti-henti berkeliaran. Mana kami mahu pergi, kami kasi jadi!

A photo posted by TSG #KasiJadi (@tsgkasijadi) on

Baca juga tentang trip TSG paling suffer ke Cebu DI SINI:

You may be interested in: