Tular Penduduk Kutip Kerang Naik Ke Darat, Polis Minta Henti Datang Untuk Keselamatan
Larangan ini dibuat selepas pihaknya menerima beberapa laporan mengenai aktiviti berkenaan yang membahayakan individu terlibat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru-baru ini tular video di media sosial selepas Pantai Sura di Dungun, Terengganu menjadi tumpuan penduduk bagi mengutip kerang yang memenuhi persisiran pantai itu
Menerusi laporan Harian Metro, seorang penduduk di situ memberitahu fenomena tersebut bukan yang pertama berlaku dan ia adalah saat yang ditunggu penduduk.
Malah, setiap kali tiba musim tengkujuh memang berlaku pantai itu dipenuhi kerang yang naik akibat ombak kuat.
Tambahnya, dia berjaya kutip kira-kira 100 kilogram kerang yang akan dijual dan makan sendiri.
Video penduduk mengutip kerang di pantai itu turut mendapat perhatian ramai selepas ia dikongsikan ramai pengguna.
Polis larang kutip kerang
Dalam pada itu, polis mengeluarkan amaran larangan mengutip kerang di pesisir pantai daerah Dungun.
Menerusi kenyataan di Facebook, Ketua Polis Daerah Dungun, Sup Maizura Abdul Kadir, berkata larangan ini dibuat selepas pihaknya menerima beberapa laporan mengenai aktiviti berkenaan yang membahayakan individu terlibat.
"Larangan ini diumumkan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
"Pesisir pantai daerah Dungun berisiko tinggi akibat arus laut yang kuat, dengan kelajuan angin mencecah 60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.4 meter, selain perubahan cuaca yang tidak menentu," katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan menjalankan pemantauan berkala di kawasan pantai untuk memastikan larangan ini dipatuhi.
"Kami mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan tiada kemalangan jiwa di kawasan pantai disebabkan aktiviti ini," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!