Tun M & Tun Hasmah Cipta Sejarah Pasangan ‘Centenarian’ Pertama Yang Masih Hidup Di Asia
Pengiktirafan itu diberikan menerusi Asia Records dalam majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan di Asia yang kedua-duanya masih hidup selepas mencapai usia 100 tahun

Menurut laporan Sinar Harian, pengiktirafan itu diberikan menerusi Asia Records dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Selasa.
Dalam majlis sama, Dr Mahathir, 101, turut diiktiraf ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Tertua yang masih hidup.
Dr Hasmah, 100, pula menerima pengiktirafan sebagai Pasangan Bekas Perdana Menteri Tertua yang masih hidup.
Rekod ketiga yang diterima mereka ialah Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya menjadi Centenarian yang masih hidup.
Pada 12 Julai lalu, usia gabungan pasangan itu mencecah 201 tahun

Lebih istimewa, mereka turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos lalu, selepas mendirikan rumah tangga pada 1956.
Kisah cinta pasangan itu bermula pada 1947 ketika mereka merupakan pelajar perubatan di King Edward VII College of Medicine.
Selepas berkahwin, mereka membesarkan tujuh anak sebelum melalui perjalanan panjang bersama, termasuk berkhidmat kepada negara di peringkat tertinggi.
Dr Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 24 tahun menerusi dua penggal tidak berturut-turut, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020. Dalam tempoh sama, Dr Hasmah turut memainkan peranan sebagai wanita pertama negara.
Menurut proses pengesahan yang dijalankan pasukan pengadil, tiada pencapaian setara yang didokumentasikan secara terbuka di rantau ASEAN dan pasaran utama Asia.
Sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat, Tan Sri Datuk Danny Ooi, dengan diiringi Ketua Pengadil ASEAN Records dan Asia Records, Gillian Ooi serta Eldrick Koh.
Pengiktirafan itu sekali gus menambah satu lagi catatan istimewa dalam perjalanan hidup pasangan yang telah bersama selama tujuh dekad tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via