Fesyen Tudung Cantik, Masak Power & Lagi Perkara Best Pasal Permaisuri Agong, Tunku Azizah
Tahu tak baginda merupakan adinda kepada Sultan Johor terkini, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar!
Susulan pelantikan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, nama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kian bermain di bibir rakyat jelata apabila baginda secara rasminya menjadi Raja Permaisuri Agong yang terbaru.
Memiliki raut wajah yang manis serta penuh dengan kemesraan dan kaya dengan sifat keibuan, Tunku Azizah merupakan seorang yang sangat berjiwa rakyat dan cukup disenangi rakyat jelata khususnya di negeri Pahang.
Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang baginda:
1. Diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dilahirkan di Istana Stulang, Johor Bahru, pada 5 Ogos 1960, merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche' Besar Hajah Kalsom Abdullah dan dibesarkan oleh Tunku Zanariah Tengku Ahmad.
Ini menjadikan baginda adinda kepada Sultan Johor terkini, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar!
2. Tunku Azizah telah diijabkabul dengan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 6 Mac 1986
Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri:-
- Yang Amat Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, SIMP.
- Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang,
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, DK., SSAP. - Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Yang Amat Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
3. Baginda dimahsyurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang, dan bukan Sultanah Pahang disebabkan darahnya
Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Sultan Pahang yang baharu melayakkan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diangkat sebagai Tengku Ampuan Pahang.
Perkara 12A. (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang berbunyi: ‘Raja pemerintah boleh melantik isterinya menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang dengan syarat bahawa dia adalah seorang daripada bangsa Melayu, yang berdarah raja, yang beragama Islam dan perkahwinannya dengan raja pemerintah adalah sah menurut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa perkahwinan itu dilangsungkan.
Gelaran Tengku Ampuan Pahang khas untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
4. Baginda mendapatkan pendidikan awal di negeri Johor kemudian di Singapura
Pendidikan awalnya di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Nasional Singapura.
PENDIDIKAN
1963-1966 : Taman Kanak-Kanak Tengku Ampuan Besar Meriam, Johor Bahru
1967-1972 : Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru
1973-1979 : Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru
1982-1983 : Universiti Nasional Singapura (NUS) (Sains Politik dan Sosiologi)
5. Tunku Azizah sangat terkenal dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan
Baginda pernah mengeluarkan buku resipinya sendiri, "Air Tangan Tengku Puan Pahang" dan "Masakan Tradisional Pahang".
Baginda telah menghasilkan tiga buah buku iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada 2007 dan buku Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang serta Buku Masakan Tradisional Pahang yang dilancarkan pada 2018.
Dalam satu temubual bersama media, Tunku Azizah pernah memaklumkan minat baginda dalam bidang masakan antara lain disebabkan dorongan yang diberikan oleh Almarhum ayahanda baginda Sultan Iskandar.
Baginda mula masuk ke dapur seawal usia lima tahun di bawah pengawasan pengasuh dirajanya dan pernah mengikuti pendidikan masakan tidak formal di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI).
6. Baginda sering turun padang dan membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang
Pahang merupakan antara negeri yang sering dilanda banjir pada musim tengkujuh, namun dalam keadaan yang kurang baik itu, rakyat yang berpindah di pusat pemindahan banjir di negeri ini sentiasa mendapat keistimewaan iaitu masakan Tunku Azizah.
Tunku Azizah sanggup menyinsing lengan baju semata-mata untuk ‘beraksi di dapur’ bagi memasak lauk-pauk bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat dan mencukupi sepanjang berada di situ.
Menurut seorang saksi, Nor Mastuza Abdul Aziz, yang berpeluang membantu Tunku Azizah memasak semasa daerah Pekan dilanda musibah banjir pada 2014 dan 2015, dia menyifatkan baginda seorang tukang masak yang cekap dan mendapat pujian ramai.
“Ayam masak merah dan sardin merupakan menu yang sering jadi pilihan tuanku. Jika Tunku Azizah memasak, baginda tidak suka ikan tersebut dipotong kepada kepada saiz kecil, sebaliknya baginda lebih suka memasaknya dalam saiz yang asal.
“Baginda pernah bertitah, jika hendak menjamu orang, biarlah dia dapat makan sepuas hati dan kenyang,” katanya lagi.
7. Usaha baginda mendapatkan zuriat telah menjadi sumber inspirasi dan contoh buat ramai wanita di negara ini
Bukan sekali, sebaliknya enam kali baginda menghadapi keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI), dan terpaksa menanti kira-kira 10 tahun untuk kelahiran cahaya mata.
Ujian yang dihadapi dalam mendapatkan zuriat dan pengalaman menjalani rawatan kesuburan, memberi ilham kepada Tunku Azizah untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Ogos 2004 bagi membantu wanita-wanita yang melalui dugaan seperti baginda.
Setiausaha Agung TAFF, Datuk Hamimah Abdul Karim, 69, berkata setakat ini, TAFF sudah ‘melahirkan’ 115 anak yang digelar baginda ‘sebagai cucu baginda’.
”(Ketika) Baginda mula mengumpul bahan untuk menulis buku masakan sekitar tahun 2003, dan bertanya jika saya jual buku ini, ke mana duitnya hendak pergi? Dari situ baginda mendapat ilham untuk menubuhkan TAFF.
“TAFF adalah bukti sifat empati Tuanku dengan wanita senasib dengan baginda. Kini baginda adalah nenek, ninda, popo dan amma kepada semua 115 cucu TAFF kerana bantuan ini diberikan kepada semua tanpa mengira kaum,” katanya.
8. Penampilannya yang bertudung litup mendapat pujian serta menjadi inspirasi rakyat jelata
Setelah menjadi Raja Permaisuri Agong yang baharu, banyak mata-mata netizen tertumpu kepada Tunku Azizah yang bukan sahaja cantik rupawan, tetapi kerana ketrampilannya.
Ternyata ramai yang menyukai penampilan baginda yang bertudung litup dan memakai pakaian yang lengkap menutup aurat sekali gus menjadikan baginda lambang wanita Islam yang patut dijadikan ikutan!
Kebanyakan busananya merupakan hasil rekaan pereka fesyen terkemuka, Rizalman yang telah bekerjasama dengan baginda selama sudah 15 tahun.
Menurut pereka fesyen itu, "Apabila baginda mengenakan hijab, saya tambah selendang yang menutupi bahagian depan dan rekaan itu saya hanya buat untuknya sahaja."
9. Baginda serta Al-Sultan Abdullah sangat bersahabat baik dengan penyanyi nombor 1 Malaysia, Siti Nurhaliza
Setelah selamat melahirkan anaknya, Siti Aafiyah, Tunku Azizah telah mencemar duli dengan mengunjungi kediaman penyanyi tersohor itu.
“Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah sudi mencemar duli ke teratak Patik.. Tengku Puan inspirasi wanita soleha dan kesayangan rakyat jelata .. Ampun Tuanku,” tulis Siti.
Selain itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut dijemput ke Istiadat Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar di Pekan.
Penyanyi itu menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyaksikan seorang putera raja yang dikenalinya sejak beliau dibangku sekolah kini bergelar Sultan.
Siti Nurhaliza berkata, beliau mula mengenali Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda yang semasa itu bergelar Tengku Mahkota Pahang menyaksikannya menyanyi pada majlis anjuran sekolah semasa di sekolah rendah.
Beliau berkata, sebelum dan di awal penglibatannya dalam bidang nyanyian, beliau juga sering diundang untuk menyerikan majlis anjuran kerajaan Pahang yang ada di antaranya dihadiri Sultan Abdullah atau ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.
"Dan sebenarnya baginda (Sultan Abdullah) juga berkebolehan menyanyi. Kami pernah berduet bersama dan lagu-lagu pilihan baginda adalah lagu balada. Antara lagu kesukaan baginda ialah 'Sampai Hati' (nyanyian kumpulan Spring)," katanya.
10. Tunku Azizah juga seorang yang aktif dalam persatuan yang merupakan salah satu caranya untuk sentiasa bersama rakyat
Antara jawatan yang disandang baginda dalam persatuan dan badan bukan kerajaan termasuk Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang, Pengakap Puteri Sedunia serta merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Tunku Azizah turut menjadi Pengerusi Persatuan Badminton KDYTM Tengku Ampuan Pahang (Pertap), Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang(WI), Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) dan Penaung Diraja AP di Hong Kong.
Lagi jawatan-jawatan yang disandang Tunku Azizah:
- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang
- Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja
- Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Dunia
- Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Pahang
- Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Kebangsaan (1991)
- Naib Yang Dipertua PPPM Peringkat Kebangsaan (1999-2011)
- Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Pahang
- Pengasas dan Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF)
- Pemegang Amanah Utama Yayasan Istana Abdulaziz
- Ahli Lembaga Pengarah The Olave Baden-Powell Society Peringkat Dunia
- Canselor Diraja Universiti Kolej Berjaya
- Canselor Diraja Universiti Kolej Yayasan Pahang
- Presiden Serantau untuk Asia Tenggara dan Timur Jauh, Persatuan Wanita Desa Sedunia (2010-2016)
- Timbalan Presiden Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Wanita Desa Sedunia (2007- 2010)
- Penaung Diraja Persatuan Jurumasak Pantai Timur dan Malaysia
- Penaung Diraja Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia
- Patron Trefoil Guild Pahang (2001)
11. Tunku Azizah pernah viral di laman sosial perihal buah durian dan flat tyre yang bikin rakyat tertawa dengan peribadinya
Pernah viral di laman sosial apabila seorang penjual durian di Pulau Pinang secara tidak sengaja memanggil Tunku Azizah dengan gelaran 'Kak’. Kejadian tersebut berlaku ketika baginda sedang dalam lawatan tidak rasmi ke Pulau Pinang.
Oleh kerana sikap peramah dan bersahaja baginda melayan orang sekelilingnya menyebabkan penjual durian tersebut tidak menyedari wanita yang berdiri di hadapannya adalah kerabat diraja Pahang.
Baginda sekali lagi telah singgah ke gerai peniaga tersebut yang pada masa itu kelihatan tersipu-sipu malu sambil merafak sembah dan memaklumkan sebelum ini dia tidak mengenali baginda.
Selain itu, baginda juga pernah viral apabila kenderaan diraja yang dinaikinya tersadai di tepi jalan, akibat tayar pancit.
Melihatkan pada kejadian tersebut, anakanda Tunku Azizah iaitu Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatu’llah sempat merakamkan video menerusi laman Instagram-nya. Menurut Tunku Azizah, Tengku Afzan begitu teruja mengalami kejadian tersebut memandangkan ini adalah kali pertama kereta yang dinaiki mereka pancit di tengah jalan.
Seloroh baginda itu ternyata telah menghiburkan hati rakyat jelata.
12. Sangat meminati seni kraf dan tekstil dan sentiasa ingin memartabatkan tenun Pahang
Selain mempunyai kepakaran dalam selok-belok bidang kulinari, Tunku Azizah memang diketahui umum sering memperjuangkan seni kain Tenun Pahang Diraja yang berusia lebih 300 tahun, dan mengasaskan latihan dalam penjara untuk banduan mengeluarkan produk bawah label Tenun Pahang Diraja.
Bahkan, baginda pernah mendapat surat penghargaan daripada banduan yang mengikuti latihan tersebut. Dalam surat itu tertulis, "Tuanku, seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat kerana sudi mencemar duli bertemu dan memberi tunjuk ajar kepada patik semua walaupun patik semua adalah banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara.
“Jasa dan budi baik Tuanku akan sentiasa patik semua kenang selagi nyawa dikandung badan," tambahan daripada surat tersebut.
Sewaktu pernikahan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, baginda telah mengenakan kain Tenun Pahang Diraja pada majlis perkahwinannya yang dihasilkan banduan di Penjara Penor dan dihadiahkan oleh Tunku Azizah Maimunah yang juga ibu saudaranya.
Selain itu, Tunku Azizah juga telah melancarkan Yayasan Tenun Pahang Diraja bagi memulihara dan memastikan keunikan serta keistimewaan kain tenun itu terus terpelihara pada masa akan datang.