TV AlHijrah Perkenal Empat Karya Baharu Patuh Syariah Di Platform Penstriman AH+
Dibintangi barisan pelakon baharu serta lagenda tanah air, kesemua telefilem ini boleh ditonton secara percuma di aplikasi AlHijrah Plus!
Cover image via TVAlhijrah (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
TV AlHijrah melangkah setapak lagi dalam industri penyiaran negara apabila memperkenalkan empat karya baharu merangkumi dua telefilem dan dua drama bersiri yang mengetengahkan elemen patuh syariah serta nilai kemanusiaan
Kesemua naskhah berkenaan dibawakan khas untuk tayangan premium secara eksklusif menerusi aplikasi penstriman digital yang telah dinaik taraf, AlHijrah Plus (AH+), sebelum disiarkan di saluran televisyen seminggu kemudian.
Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Binti Mohamed berkata, pemilihan naskhah-naskhah ini melalui proses tapisan ketat oleh panel penasihat syariah bagi memastikan ia selari dengan matlamat stesen dalam menyediakan hiburan beretika tanpa mengorbankan kualiti penceritaan.
Beliau menegaskan bahawa TV AlHijrah mahu membuktikan drama berunsurkan Islam dan patuh syariah mampu dihasilkan dengan kualiti tinggi, segar, serta berdaya saing untuk menarik minat penonton pelbagai lapisan usia, khususnya golongan muda di platform digital.

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar menambah bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi penyiaran stesen untuk menyediakan alternatif kandungan fiksyen berteraskan nilai Islam.
Menurut beliau, drama bukan sekadar ruang bercerita, malah wadah untuk membawa penonton melihat semula realiti di sekeliling menerusi persoalan prasangka, keadilan, kepercayaan, taubat dan peluang kedua yang hadir secara semula jadi dalam perjalanan watak.
TV AlHijrah optimis untuk terus memperkukuhkan ekosistem penyiaran digital Islam serta memperluaskan sasaran kandungan kreatifnya pada masa hadapan
Empat judul baharu yang diketengahkan merangkumi telefilem 'Bersuara Tapi Tak Didengar' arahan Heykal Hanifah yang telah mula ditayangkan pada 6 September lalu. Telefilem berdurasi 120 minit ini dibintangi Nafiz Muaz, Rusdi Ramli dan Dato' Hilal Azman, yang mengisahkan cabaran seorang peguam muda dengan sindrom Tourette.
Seterusnya, siri lapan episod 'Mistik Bilik Mayat' arahan Rashid Sibir bakal menemui penonton dari 22 September hingga 26 Oktober depan. Siri yang membongkar tema kematian dan merungkai kepercayaan mistik menerusi perspektif Islam ini menampilkan Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.
Selain itu, siri 'Ghost Buskers' terbitan Sha's Media dan arahan Eoon Shuhaini akan bersiaran dari 20 Oktober hingga 16 November. Karya ini menggabungkan elemen nasyid, dakwah, ruqyah dan penyiasatan paranormal patuh syariah yang dilakonkan oleh kumpulan UNIC, Nabila Razali, Sharifah Rose serta Jazmy Juma.
Slot telefilem turut diperkukuhkan menerusi 'Azan Terakhir Seorang Banduan' pada 11 Oktober ini. Arahan Jamal Khan itu menampilkan Redza Rosli, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Amir Khan yang membawakan kisah keinsafan seorang bekas banduan mencari ketenangan di surau.
Dengan pengenalan platform AH+ berwajah baharu serta sokongan daripada lebih 300,000 peminat setianya, TV AlHijrah optimis untuk terus memperkukuhkan ekosistem penyiaran digital Islam serta memperluaskan sasaran kandungan kreatifnya pada masa hadapan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


