"Saya Lebih Suka Orang Yang Setia" Dan 7 Lagi Kenyataan Najib Yang...
Dari 31 Julai hingga 3 Ogos, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat sibuk pergi ke sana ke mari demi menjalankan amanat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
1. Pertama sekali, Najib bersyukur rombakan Kabinet diterima baik anggota parti dan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa syukur kerana anggota UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta rakyat menerima baik rombakan kabinet yang dilakukannya pada 28 Julai lalu.
Beliau berkata dengan rombakan itu, parti dan kerajaan kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat untuk membangunkan dan memacu Malaysia ke arah negara maju dalam tempoh lima tahun.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal), (Datuk Seri) Hassan (Malek) dan semua yang tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan."
"Tetapi masing-masing melahirkan komitmen dan luahkan pendirian bahawa mereka tetap setia kepada UMNO. Dengan selesainya proses itu (rombakan), maka kita boleh bergerak ke hadapan."
"Saya tidak mahu kita hilang arah dan fokus. Kita mesti kembali kepada mengapa, kenapa dan apa dia objektif serta matlamat yang hendak diperjuangkan sebagai anggota parti dan kerajaan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar pada Ahad.
2. "Ada orang kata saya mahu 'yes men' (pak turut). Tidak, saya tidak mahu 'yes men'. Tetapi saya juga tidak mahu 'no men'."
Najib meminta ahli UMNO mencontohi penyokong pembangkang yang menyokong pemimpin mereka tanpa mengira keadaan, sambil menegaskan beliau tidak mahu dikelilingi "pak turut".
"Ada orang kata saya mahu 'yes men' (pak turut). Tidak, saya tidak mahu 'yes men'. Tetapi saya juga tidak mahu 'no men'. "
"Kalau anda hendak katakan 'tidak' kepada saya, lakukannya secara tertutup," kata Najib pada mesyuarat agung tahunan UMNO bahagian Hulu Selangor pada Ahad.
"Begitu banyak tuduhan terhadap orang itu, tetapi penyokong masih mempertahankannya, tidak kira apa. Kenapa?"
"Kerana mereka tahu kita perlu menyokong pemimpin kita supaya parti boleh menang dalam pilihan raya," katanya jelas merujuk kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang dimaksudkan.
3. "Siapa kata pilihan raya esok? Ada banyak masa lagi."
Kenyataan Najib ini dilihat seperti menjawab dakwaan timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas yang BN akan tewas dalam pilihan raya umum jika ia diadakan sekarang.
"Ada orang kata kita akan kalah jika pilihan raya diadakan hari ini. Siapa kata pilihan raya hari ini? Bukan hari ini, bukan esok. Kita ada cukup banyak masa untuk itu, untuk mendapatkan keyakinan orang ramai," kata Najib pada mesyuarat agung tahunan UMNO bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu pada Ahad.
Beliau bagaimanapun memberi amaran, UMNO perlu menukar kaedahnya jika ia mahu berjaya dalam pilihan raya yang akan datang, mengatakan ia sering kali tidak memberi tumpuan kepada rakyat "di luar dewan."
"Kita selalu fikir, kita bawa rakyat ke dalam dewan, dan mereka semua sokong kita. Kita lupa kepada orang di luar dewan. Kita perlu melihat kepada program kita untuk turut mendekati mereka yang di luar dewan. Saya selalu cakap, hasil itu penting, bukan sahaja usaha yang dicurahkan," katanya.
Najib berkata, beliau sendiri turut berasa "tertipu" apabila kira-kira 30,000 orang hadir pada satu programnya di Selangor pada pilihan raya umum yang lalu.
"Saya fikir, oh, tengoklah betapa ramai yang keluar, orang-orang ini akan mengundi kita. Tetapi, mereka tidak mengundi kita," katanya lagi.
4. "Soal 1MDB bukan segala-galanya macam dunia nak kiamat. Rakyat nak apa, food on the table, bumbung shelter, rezeki yang halal, sekolah dan pendidikan untuk anak-anak. Ini yang perlu kita beri fokus."
"Soal 1MDB bukan segala-galanya macam dunia nak kiamat, macam apa namanya, siling nak runtuh. Inilah bukanlah isu yang paling penting, sebagai ahli parti, saya nak kita fokus kepada tugas utama kita, fokus kita apa, fokus kita jaga hati rakyat, buat apa yg dikehendaki rakyat. InshaAllah UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh menang."
"Sebagai presiden parti tentu sekali saya nak parti menang, parti kuat, ada kekuatan sepanjang masa. Ini amanah. Setiap orang akan dipertanggungjawabkan kepimpinannya dalam Islam. Ketua itu lagi berat tanggungjawabnya dipersoalkan nanti."
"Saya tahu, 38 tahun dalam politik, sejak tahun 1976, nak sampai jawatan ini bukan senang. Onak ranjaunya. Saya tahu beratnya. Politik ini bukan macam graf yang naik semacam. Macam hidup kita juga, ada masa senang, ada masa susah. Dalam hidup macam itu. Dalam perkahwinan macam itu."
"Tapi janganlah masa senang kita sokong, nampak susah sikit nak tebuk pula kapal. Tak boleh. Ini namanya setiakawan dalam politik. Jangan 'bro-bro' waktu senang, waktu susah tak nampak muka, nak tikam lagi adalah," ujar Najib.
5. "Jasa 1MDB banyak. Pelbagai bantuan diberi. Namun kerana persepsi, semua tentang 1MDB dianggap buruk."
Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dengan persepsi fitnah orang ramai terhadap 1Malaysia Development Berhad, (1MDB) sehingga menyebabkan syarikat itu dianggap buruk.
Sedangkan, Perdana Menteri berkata, 1MDB mempunyai jasa yang banyak terhadap rakyat.
"Tetapi oleh kerana persepsi, fitnah memenangi fikiran rakyat maka satu kebaikan yang dibuat boleh menjadi sebaliknya semata-mata pembelian itu mempunyai kaitan 1MDB," katanya yang menjadikan pembelian sekeping tanah oleh Lembaga Tabung Haji daripada 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) sebagai contoh.
"Jasa 1MDB banyak. Pelbagai bantuan diberi. Namun kerana persepsi, semua tentang 1MDB dianggap buruk," kata Najib ketika memberi ucapan di Majlis Penyerahan Surat Tawaran Haji kepada para imam dan Pengerusi JKKK dan JKKP seluruh negara di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya pada Jumaat, 31 Julai 2015.
6. "Saya lebih menghargai orang yang setia daripada orang yang pintar."
Najib berkata sifat kesetiaan adalah sifat yang lebih sukar dicari dalam seseorang daripada kebijaksanaan, sambil menambah beliau lebih menghargai kesetiaan berbanding kebijaksanaan..
Najib juga berkata kesetiaan itu lebih penting daripada "orang pintar" demi menjaga semangat bersatu padu parti dan kepimpinan beliau.
"Saya akan menilai orang berdasarkan kesetiaan mereka. Terdapat ramai orang pintar di sekeliling kita tetapi untuk mencari orang-orang yang setia adalah sangat sukar. Tetapi saya tidak maksudkan kesetiaan secara membuta tuli. Kita perlu bekerja bersama-sama untuk menjadikan parti kita kuat.""Tak salah kalau kita tidak sependapat, asalkan kita tidak membaling kerusi di antara satu sama lain. Kita juga boleh suarakan rasa tidak puas hati, tetapi bukan lakukannya di luar. Ini akan meruntuhkan imej parti," kata Najib.
7. "Saya yakin semangat setiakawan Zahid dalam membantu saya memenuhi segala kehendak dan aspirasi rakyat."
Najib yakin kewibawaan Timbalan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat membantu beliau dan anggota Kabinet yang lain dalam menggalas tanggungjawab bagi memenuhi kehendak rakyat dalam ikatan dan semangat setiakawan.
"Saya percaya di atas kewibawaan beliau dapat membantu saya dan anggota-anggota Kabinet yang lain dalam satu jaringan dan ikatan yang kukuh dan semangat kesetiakawanan yang jitu untuk menggalas tanggungjawab dan amanah berat iaitu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan kehadiran pertama Ahmad Zahid pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
8. "Suara seorang suruh saya turun, saya tidak akan turun. Sebab saya tahu 3 juta ahli UMNO bersama saya."
"Saya dipilih melalui proses demokrasi pemilihan. Bukan saya angkuh, tapi saya diamanahkan oleh parti untuk meneruskan kepimpinan. Jangan ganggu saya, saya nak buat yang terbaik, saya buat ekonomi modal, ekonomi rakyat."
"Ada orang kata saya tidak bijak kerana buang kuota bertanding jawatan presiden parti," kata najib mengulas perubahan dalam sistem pemilihan UMNO yang memberikan ruang demokrasi kepada ahli untuk memilih presiden.
Perlembagaan UMNO sebelum ini menghendaki mereka yang ingin bertanding jawatan presiden UMNO menerima pencalonan daripada 63 UMNO Bahagian.
"Ingat senang nak dapat? Susah. Kalau saya kekalkan Perlembagaan lama, saya boleh jadi presiden parti selama 23 tahun. Boleh.. Sebab, siapa nak lawan? Tapi saya nak parti kita jadi lebih terbuka. Saya biarkan 160,000 ahli UMNO memilih."
"Zaman susah pun, InsyaAllah tak lama kalau kita ada setiakawan. Ada cahaya di hujung terowong. Kalau kita berjaya melalui zaman kesusahan, InsyaAllah kita akan lebih kuat. Tak mengapa saya berat sikit, banyak ujian."
"Kebetulan hari ini saya presiden. Bukan kerana saya Najib. Presiden kena kuat, kuat bukan kerana dia Najib, tapi kerana dia presiden. Selagi saya pegang jawatan presiden, saya perlukan kekuatan untuk teruskan parti kita menang," kata Najib bersemangat.