UNITAR Lancar Karnival Neurodivergen 2026, Fokus Pendidikan & Masa Depan Lebih Inklusif
Inisiatif ini memberi fokus kepada pendidikan, pekerjaan dan sokongan holistik untuk komuniti neurodivergen.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Usaha membina masyarakat yang lebih inklusif tidak boleh terhenti pada kesedaran semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan tindakan berterusan, kerjasama pelbagai pihak dan sistem sokongan yang mampan
Atas komitmen tersebut, UNITAR Education Group secara rasmi melancarkan Karnival Neurodivergen UNITAR 2026, sebuah inisiatif nasional selama tiga hari yang memberi fokus kepada pendidikan inklusif, kebolehpasaran kerja serta sokongan komuniti untuk individu neurodivergen.
Berlangsung dari 11 hingga 13 Jun 2026 di kampus UNITAR Kelana Jaya, karnival ini menghimpunkan pemimpin kerajaan, pendidik, keluarga, NGO serta rakan industri dalam usaha bersama membina masyarakat yang lebih mudah diakses dan inklusif.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal Binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor dan turut dihadiri oleh YB Senator Isaiah Jacob, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Komanwel Orang Kurang Upaya.
Apa yang membezakan Karnival Neurodivergen UNITAR 2026 adalah pendekatannya yang lebih menyeluruh dan berasaskan ekosistem.
Selain meningkatkan kesedaran, inisiatif ini turut memberi penekanan kepada sokongan keluarga, pemerkasaan penjaga serta pembentukan rangka kerja komuniti jangka panjang yang mampu memberi impak berterusan.
Ia juga selari dengan agenda nasional dalam memperkukuh inklusiviti dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan penyertaan komuniti, dengan pengiktirafan bahawa perubahan yang mampan memerlukan kerjasama rentas sektor.

Menurut YB Puan Anfaal, usaha memperkasakan komuniti neurodivergen memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.
"Kita perlu melangkaui kesedaran semata-mata dan membina sistem yang benar-benar menyokong individu neurodivergen serta keluarga mereka. Inklusiviti bukan tanggungjawab satu sektor sahaja tapi ia juga memerlukan kerjasama antara kerajaan, pendidikan dan komuniti bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir.
"Sektor swasta, termasuk institusi seperti UNITAR, memainkan peranan penting dalam memacu agenda ini secara bermakna dan mampan," katanya.
Dalam masa sama, UNITAR terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan pendidik, memperkukuh amalan pendidikan inklusif serta memperluaskan akses kepada laluan pembelajaran yang fleksibel untuk pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Menurut Profesor Dr Malikka Govindarajoo, Dekan Eksekutif Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan Kumpulan Pendidikan UNITAR, pendidikan inklusif bukan hanya berkaitan akses kepada pembelajaran.
"Pendidikan inklusif bukan sekadar akses ia tentang rasa dimiliki, maruah dan keyakinan untuk menyumbang secara bermakna.
"Di UNITAR, kami komited untuk mempersiapkan pendidik dan komuniti agar meraikan neurodiversiti sebagai satu kekuatan, sambil mewujudkan persekitaran di mana setiap pelajar boleh berkembang," katanya.

Karnival ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai organisasi termasuk Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia), The Autism Cafe Project, Malaysian Indian Chef Association (MICA), Bethany Home, Beautiful Gate Foundation, Tender Hearts Café, Society for the Severely Mentally Handicapped (SSMH), Hatching Centre, Malaysian Care, NASOM, Malaysian Association for the Blind (MAB) serta Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS).
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai program menarik disediakan antaranya:
- Bengkel pengalaman interaktif
- Forum awam
- Pameran komuniti
- Persembahan khas
- Inisiatif keusahawanan
Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti seperti terapi seni, masakan inklusif, muzik dan pergerakan, robotik serta pembelajaran sensori.
Lebih menarik, karnival ini turut mengetengahkan pengalaman sebenar daripada ibu bapa, penjaga dan individu neurodivergen sendiri bagi merapatkan jurang antara dasar serta realiti kehidupan harian mereka.
Fokus kepada peluang pekerjaan dan kehidupan berdikari
Selain pendidikan, Karnival Neurodivergen UNITAR 2026 turut memberi fokus kepada aspek kebolehpasaran kerja, kehidupan berdikari dan penyertaan ekonomi.
Inisiatif ini menekankan bahawa setiap individu berhak mendapat peluang yang sama rata untuk membina masa depan yang lebih bermakna, sambil mengekalkan maruah dan potensi diri.
Melalui penganjuran karnival ini, UNITAR berharap lebih banyak pihak akan memainkan peranan dalam membina ekosistem yang benar-benar menyokong komuniti neurodivergen, sekaligus membuktikan bahawa inklusiviti adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen jangka panjang daripada seluruh masyarakat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

