Uptown Danau Kota 'Bernyawa' Buat Kali Terakhir Semalam, Bakal Pindah Ke Tempat Baru
Terima kasih, Uptown Danau Kota.
Semalam, 29 Oktober 2019 merupakan hari terakhir buat peniaga Uptown Danau Kota menjalankan perniagaan selepas 13 tahun beroperasi
Uptown Danau Kota begitu sinonim dengan warga kota Kuala Lumpur pada waktu malam. Ia merupakan salah satu tempat kegemaran bagi ramai orang untuk membeli belah dan mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.
Selain itu, pelbagai pilihan makanan dan minuman juga merupakan antara tarikan utama Uptown Danau Kota. Ada juga yang hanya datang ke situ untuk 'cuci mata' dan bersiar-siar dengan rakan-rakan sambil selami uptown vibe yang tidak mungkin boleh dapat di tempat lain.
Uptown Danau Kota telah mengukir seribu satu kenangan dan mulai hari ini, ia sudah tidak 'bernyawa' lagi
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan notis pemindahan pada 4 Oktober 2019.
Dalam notis tersebut, DBKL mengarahkan peniaga untuk berpindah dan mengosongkan tapak mulai 30 Oktober 2019. Sekiranya gagal, pihak DBKL mempunyai hak untuk mengambil tindakan seperti kompaun, sita, dan roboh tanpa sebarang notis.
Selepas ini, tapak perniagaan akan berpindah di sebelah JPJ Wangsa Maju dan akan diberi nama Bazaria Wangsa Maju
Perkara ini telah diumumkan oleh laman Twitter Asal Gombak.
Menerusi rangkaian bebenang Asal Gombak, para peniaga akan diberi tapak sementara yang tidak jauh dari tapak asal sebelum berpindah ke Bazaria Wangsa Maju kerana projek tersebut masih belum siap.
Tapak sementara terletak di bekas loji bersebelahan dengan SK Danau Kota.
Laman Facebook rasmi Uptown Danau Kota bagaimanapun menerima berita ini dengan pahit sambil menceritakan tentang perit jerih dan betapa payahnya mereka membina nama
"Betapa seksa, jerit perih dan payahnya untuk menjadi begitu gah dan popular sehingga dikenali di seluruh Asia Tenggara setanding dengan China Town. Bermula dengan hanya beberapa tapak gerai, sehingga mencecah ratusan gerai.
"Masa nak cari tapak di Danau bukan main merayu untuk berniaga di sana. Kita menguruskan sekian lama dan telah masuk tahun ke 13 wujudnya Uptown Danau Kota ini. Kenapa baru sekarang mahu mencantas? Senangnya mereka nak meraih keuntungan dari hasil titik peluh orang yang berjuang berniaga seawal mungkin," tulis status berkenaan.
Menurut laman Asal Gombak, ada banyak lagi isu yang timbul dari pelbagai pihak termasuklah peniaga, penduduk dan penguatkuasa sepanjang cadangan pemindahan ini dikemukakan
"Semoga isu pemindahan tapak ini selesai, dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Terima kasih, Uptown Danau Kota," tulis Asal Gombak sebelum mengakhiri bebenang.