USM Kini Dinobat Universiti Nombor 1 Malaysia Mengikut Ranking ARWU 2026
Pencapaian tersebut meletakkan USM setanding dengan universiti yang mempunyai tradisi penyelidikan kukuh, saintis dan sarjana berpengaruh.
Cover image via USMFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Academic Ranking of World Universities (ARWU) 2026 meletakkan Universiti Sains Malaysia (USM) kini muncul sebagai universiti nombor satu di Malaysia
Menerusi laporan Bernama, USM dalam kenyataan memaklumkan pencapaian berkenaan menyaksikan universiti terbabit memperbaiki kedudukan di peringkat nasional daripada tempat ketiga pada 2025 kepada tempat pertama tahun ini.
USM memaklumkan pencapaian berkenaan adalah signifikan memandangkan ARWU atau lebih dikenali sebagai ShanghaiRanking menggunakan indikator berasaskan pencapaian akademik dan penyelidikan, bukan sekadar mengukur reputasi atau persepsi terhadap sesebuah universiti.
"Antara indikator digunakan ialah alumni dan staf memenangi Hadiah Nobel serta Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi) diiktiraf Clarivate, penerbitan dalam jurnal Nature dan Science, penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI), selain prestasi akademik per kapita institusi.
"30 peratus daripada keseluruhan penilaian ARWU berkaitan pemenang Hadiah Nobel dan Fields Medal manakala 20 peratus lagi diberikan kepada HiCi. Ini bermakna separuh daripada penilaian ARWU berkait secara langsung dengan pencapaian akademik bertaraf dunia dan penyelidik yang mempunyai pengaruh sitasi sangat tinggi," menurut kenyatan itu.

USM melonjak 149 anak tangga untuk menduduki tempat ke-581 dunia
berbanding ke-730 tahun lepas
USM memaklumkan kemampuan universiti itu melonjak 149 kedudukan dalam tempoh setahun merupakan pencapaian bermakna memandangkan lebih 2,500 universiti di seluruh dunia dinilai oleh ARWU setiap tahun, tetapi hanya 1,000 universiti terbaik diterbitkan dalam ranking tersebut.
"Dalam ARWU 2026, USM turut mencatat prestasi memberangsangkan dalam indikator Publication (PUB) apabila berada pada kedudukan ke-424 dunia dan lebih signifikan ialah peningkatan dalam indikator HiCi apabila USM berada pada kedudukan ke-503 dunia," menurut kenyataan itu.
Peningkatan dalam HiCi membawa makna lebih besar daripada pertambahan bilangan penerbitan semata-mata disebabkan ia memberi isyarat bahawa penyelidikan yang dihasilkan di USM semakin dirujuk, digunakan dan memberi pengaruh kepada perkembangan ilmu pada peringkat antarabangsa.
Menurut USM, ARWU bukan sahaja menilai jumlah penerbitan, tetapi turut melihat pengaruh penyelidik dan hasil penyelidikan universiti di peringkat dunia.
Pencapaian tersebut turut meletakkan USM setanding universiti yang mempunyai tradisi penyelidikan kukuh, saintis dan sarjana berpengaruh serta ekosistem penyelidikan yang dibangunkan sejak beberapa dekad lepas.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


