Valtteri Bottas Selamat Tiba Di Singapura, Lengkapkan Kayuhan Basikal Dari Malaysia
Respect!
Cover image via @valtteribottas (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelumba Formula One (F1), Valtteri Bottas yang memilih cara unik untuk ke Grand Prix (GP) Singapura dengan mengayuh basikal dari Kuala Lumpur akhirnya selamat tiba di negara itu semalam, 7 Oktober
Menerusi perkongsian pelumba itu di laman sosial, Bottas memaklumkan dia telah menghabiskan perjalanan sejauh 419.67km untuk tiba di Singapura.
"Baru sahaja tiba di Singapura petang ini. Satu pengembaraan yang cukup hebat merentasi jalan-jalan berbatu kerikil yang jarang dilalui, banyak lagi yang akan menyusul nanti!" katanya.
Atlet tersebut telah mencuri perhatian apabila membuat keputusan mengayuh basikal menuju ke Singapura selepas Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu lalu.
Bukan sahaja berkecimpung dalam dunia perlumbaan, Bottas juga merupakan seorang pelumba basikal kategori gravel elit yang pernah melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Berbasikal Gravel.
Bottas turut berkongsi pengalaman berhadapan dengan haiwan liar semasa perjalanan
Menerusi perkongsian laman Sportskeeda F1, pelumba Cadillac itu mendedahkan terserempak dengan beberapa haiwan liar.
"Pada mulanya saya agak risau, tetapi sebenarnya ia tidak mengganggu dan kelihatan tenang sahaja. Ia sekadar bergerak seperti biasa; saya ternampak seekor ular tedung dan seekor ular sawa melintasi laluan di hadapan saya.
"Saya juga dapat melihat beberapa ekor cicak besar, jenis yang biasa ditemui di sini dan salah seekor daripadanya berada betul-betul di atas laluan.
"Saya terpaksa melompat melepasi haiwan itu dengan basikal kerana saya hanya menyedarinya pada saat-saat akhir. Saya juga pernah dikejar oleh seekor anjing dan terkandas di belakang sekumpulan lembu di laluan yang sempit, namun akhirnya haiwan-haiwan itu beredar," katanya.
Menurut Bottas, pengalaman paling mencabar adalah untuk berbasikal meredah hutan pada waktu malam apabila bunyi-bunyian di sekeliling membuatkan fikirannya mula membayangkan perkara bukan-bukan.
"Apa yang ada di luar sana? Siapa tahu apa yang sedang mengintai? Namun, anda perlu teruskan juga perjalanan. Berbasikal dengan bantuan lampu pada waktu malam, itu mungkin pengalaman paling epik semasa berada di dalam hutan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


