seismik

[VIDEO] Tular Pengundi 'Mengamuk' Pusat Mengundi Di Kuala Pilah Tutup Awal Pukul 2 Petang

Difahamkan, beberapa individu tidak sempat membuang undi apabila pusat pengundian berkenaan ditutup pada pukul 2 petang.

Cover image via @vickneshkumarr (Twitter)

Follow kami di Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Tular video di Twitter memaparkan pengundi tidak berpuas hati apabila pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ditutup seawal jam 2 petang dan orang awam tidak dibenarkan masuk

Menurut laporan Harian Metro, dalam video yang dirakam orang awam itu, pintu pagar pusat mengundi berkenaan ditutup dan terdapat beberapa pengundi yang menunggu untuk masuk ke dalam dewan bagi menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terdapat pengundi yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat masuk dan berlaku sedikit kekecohan kerana mendakwa pusat mengundi sepatutnya dibuka sehingga jam 6 petang.

Tonton video yang tular itu di bawah:

Beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal termasuk di Kampung Melang kerana telah diwartakan SPR dan ia boleh dirujuk di borang 8

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihanraya Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, mengikut Borang 8 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal termasuk di Kampung Melang.

"Pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang memang ditutup awal iaitu jam 2 petang. Perkara itu memang sudah diwartakan SPR dan ia boleh dirujuk di borang 8.

"Kami petugas hanya menjalankan arahan diberikan SPR. Jika pusat mengundi itu dibuka sehingga jam 6 seperti pusat lain, ia mungkin mendapat bantahan daripada pihak SPR sendiri," katanya.

Mohd Faizal berkata, dia juga kesal dengan insiden itu sehingga menyebabkan pengundi tiada kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon pilihan masing-masing.

"Bagaimanapun, ia memang sudah ditetapkan begitu. Bukan di Kampung Melang sahaja, malah terdapat pusat mengundi yang ditutup lebih awal iaitu jam 2 dan 4 petang.

"Pengundi juga sepatutnya lebih cakna dengan pusat mengundi mereka dan keluar mengundi lebih awal," ujarnya.

Follow SAYS Seismik dan dapatkan berita serta liputan politik tanah air terkini di sini sekarang!

Image via SAYS Seismik

You may be interested in: