seismik

Walau Bertelekung, Umrah Sajat Tetap Sah - Mufti Kelantan

Asalkan cukup syarat.

Cover image via Instagram @nursajat23

Sudah beberapa hari negara kita kecoh dengan isu Nur Sajat menunaikan ibadah umrah

Isu yang paling kritikal dibincangkan tentunya tentang Sajat memakai telekung di tanah suci, seolah-olah dirinya seorang wanita.

Sajat yang sebelum ini pernah mendakwa dirinya seorang khunsa dilihat memakai jubah lelaki ketika di KLIA sebelum berlepas ke sana.

Sajat dilihat memakai jubah lelaki di KLIA

Image via freemalaysiatoday.com

Malah, gambar pasport beliau yang tersebar juga menunjukkan Sajat membawa nama lelaki iaitu Muhammad Sajad bin Kamaruzzaman dengan jantina 'L/M'.

Jelas di sini bahawa Sajat sepatutnya mengenakan pakaian ihram sepanjang berada di sana seperti lelaki-lelaki lain, bukan bertelekung

Ramai netizen naik angin di media sosial sambil mengarah pihak berkuasa Arab Saudi untuk menangkap beliau.

Perbuatan Sajat bertelekung itu juga dianggap tidak menghormati privasi wanita dan telah mencemari kesucian tanah suci Mekah.

Ada juga yang mempersoal tentang bagaimana ibadah umrah Sajat sah di sisi Islam sedangkan beliau tidak berpakaian mengikut syariat.

Sebenarnya, ibadah umrah Sajat tetap sah

Walaupun berpakaian seperti wanita, ibadah umrah Sajat tetap sah di sisi Islam. Perkara ini dijelaskan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Menurutnya, ibadah itu tetap sah asalkan cukup syarat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Image via ismaweb.net

“Isu dia berpakaian wanita itu adalah kesalahan lain. Jika melihat dari segi ibadat, umrah dia adalah sah selagi dia menutup aurat dan cukup syarat," kata Shukri.

“Sebagai contoh lelaki solat dengan memakai pakaian curi, ibadat solatnya masih sah namun tindakannya yang mencuri itu tetap haram. Ianya dua perkara berbeza."

Namun begitu, Sajat tidak menerima redha Allah kerana melanggar tiga perkara iaitu:

1. Tidak taat kepada suruhan Allah
2. Tidak taat kepada peraturan Islam
3. Tidak menjalani hidup mengikut fitrah

“Jika kita melanggar tiga perkara itu ketika menunaikan ibadat umrah, Allah tidak akan redha. Sekarang ini ramai yang mengatakan hak asasi manusia dengan mempertahankan tindakan dia," katanya lagi.

“Dalam Islam, hak asasi itu terpakai kepada mereka yang berada dalam fitrah sahaja. Jika seseorang itu hidup di luar fitrah iaitu menjadi wanita sedangkan dilahirkan sebagai lelaki, bermakna dia sudah tidak hidup secara fitrah.

“Jadi apa yang dilakukan Sajat itu sudah melanggar ketiga-tiga elemen berkenaan sepanjang di Makkah selain tidak hidup secara fitrah. Maka Allah tidak akan redha.”

Shukri berkata tindakan yang dilakukan itu menjejaskan imej negara yang selama ini sentiasa dipuji sebagai jemaah yang berdisiplin

“Ini kejadian pertama yang memecah disiplin negara. Justeru, kerajaan perlu tangani masalah ini sebagaimana doktor yang merawat pesakit.

“Nasihat saya misi hidup kita adalah merasa perhambaan diri kepada Allah, jadi semua pihak harus menyedari misi hidup. Jangan lari dari misi hidup,” katanya.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

You may be interested in: