Wanita Bersama 3 Penjamin Diperintah Bayar RM857,000 Pinjaman Pendidikan Daripada MARA
Peminjam menerima pinjaman MARA yang pertama pada 2011 pinjaman kedua pada 2013.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keputusan Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang wanita dan tiga penjaminnya membayar balik pinjaman pendidikan MARA berjumlah RM857,000 diteruskan selepas Mahkamah Tinggi Sungai Petani menolak rayuan mereka
Menerusi laporan Free Malaysia Today, Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam berkata beliau mendapati tiada merit dalam alasan rayuan berkenaan dan tiada sebab untuk campur tangan dalam keputusan mahkamah perbicaraan.
"Penemuan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh keterangan dan tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata," katanya dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan minggu lalu.
Beliau terus menegaskan bahawa tuntutan MARA tidak terhalang oleh Akta Had Masa 1953, memandangkan tindakan itu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan. Perayu diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000.
Wanita tersebut, Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, menerima pinjaman MARA yang pertama pada 2011 untuk melanjutkan pengajian sarjana di University of Manchester, dan pinjaman kedua pada 2013 bagi program doktor falsafah (PhD) di University of Cambridge.
Tiga ahli keluarganya, iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long, bertindak sebagai penjamin bagi kedua-dua pinjaman berkenaan.

MARA menjalankan prosiding undang-undang mendakwa Siti Norbaya gagal membayar kembali pinjaman
Perayu berhujah telah menamatkan pengajian sarjananya dalam tempoh yang ditetapkan dan mendakwa tuntutan MARA di bawah perjanjian pinjaman 2011 terhalang oleh Akta Had Masa 1953.
Dalam penghakimannya, Darmafikri berkata, terma sesuatu kontrak mengikat pihak-pihak yang terbabit, dan mahkamah mesti melaksanakan niat jelas pihak terbabit seperti yang dinyatakan dalam terma tersebut.
Menerapkan prinsip berkenaan, beliau mendapati Klausa 4.6 surat tawaran MARA 2013 dan Klausa 3.1(a) perjanjian pinjaman 2013 dengan jelas mewajibkan Siti Norbaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun.
Menerusi surat bertarikh 15 Februari 2017, Siti Norbaya mengakui tidak dapat menamatkan pengajian dalam tempoh tajaan dan diberikan lanjutan sehingga Ogos 2017. Bagaimanapun, dia masih gagal menamatkan pengajian tersebut.
"Mahkamah mendapati kegagalannya menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan merupakan satu kemungkiran kontrak.
"Sehubungan itu, plaintif (MARA) berhak menuntut bayaran balik keseluruhan jumlah pinjaman menurut Klausa 3.5 perjanjian pinjaman 2013," katanya.
Darmafikri berkata niat pihak terlibat sudah jelas sejak mula lagi, dan Siti Norbaya tidak boleh membuat tafsiran berbeza terhadap perjanjian bagi mengelak kewajipan membayar balik pinjaman.
"Walaupun dia mendakwa telah mendapat status 'reinstatement' (kemasukan semula) daripada universiti itu, perkara itu tidak melibatkan mahupun mengikat MARA," katanya.

Peminjam didapati tidak menamatkan pengajian
Darmafikri turut mengambil maklum bahawa Mahkamah Sesyen mendapati Siti Norbaya belum menamatkan pengajian PhD pada tarikh perbicaraan dan oleh itu, bertanggungjawab membayar balik keseluruhan jumlah pinjaman di bawah perjanjian pada 2013.
Berhubung isu had masa, Darmafikri memutuskan bahawa MARA mempunyai budi bicara kontrak untuk menentukan bila bayaran balik perlu dibuat, dan telah menangguhkannya ketika wanita itu menyambung pengajian di bawah pinjaman kedua.
Susulan itu, katanya, saman yang difailkan pada 2022 masih berada dalam tempoh had masa berkanun.
Peguam Nik Nur Amirah Nik Nuzul mewakili perayu, manakala Anis Amirah Amran bertindak bagi pihak MARA.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via