seismik

Wanita Kongsi Pengalaman Menjadi ‘Sahabat Maktab’ Tabung Haji, Sukarelawan Tanpa Bayaran

Sahabat Maktab adalah program tradisi pada setiap musim haji sejak diperkenalkan sejak tahun 2006 dan terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Sahabat Medik, Sahabat Ibadat dan Sahabat Am.

Cover image via Facebook Nurul Ashikin

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ianya dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah

Image via Warta Kota

Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.

Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97).

Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah SWT membuka ruang dan memudahkan semua hambaNya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat kepadaNya serta memohon limpah rahmatNya dan hidayahNya.

Setiap tahun, akan terdapat beberapa individu yang dipilih untuk program Sahabat Maktab Tabung Haji (TH).

Sahabat Maktab merupakan jemaah haji yang secara sukarela memohon untuk membantu petugas TH menguruskan pergerakan jemaah, terutama ketika operasi Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Sahabat Maktab adalah program tradisi pada setiap musim haji sejak diperkenalkan pada tahun 2006. Sahabat Maktab terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Sahabat Medik, Sahabat Ibadat dan Sahabat Am.

Pemilihan Sahabat Maktab mengikut tiga kategori itu dibuat berdasarkan latar belakang jemaah haji. 

Image via Utusan

Menurut Pengurus Maktab, Mustafa Kamal Abdul Latif, "Jika seorang jemaah itu doktor atau jururawat, kita melantiknya menjadi Sahabat Medik. Jika beliau adalah ustaz atau guru agama, kita melantiknya menjadi Sahabat Ibadat, manakala Sahabat Am pula dipilih dalam kalangan jemaah yang ada latar belakang sebagai sukarelawan.

"Apapun, kriteria paling penting ialah semangat kesukarelawanan yang tinggi dan sihat tubuh badan kerana ini kerja sukarela serta tanpa bayaran, sebaliknya semata-mata ikhlas kerana Allah," katanya kepada akhbar Berita Harian.

Beliau berkata, peranan Sahabat Maktab paling penting ialah membantu urusan penyelarasan keberangkatan dan ketibaan ketika operasi Masyair, iaitu wukuf di Arafah, serta bermalam di Muzdalifah dan Mina.

Seorang pengguna Facebook, Nurul Ashikin, baru-baru ini telah berkongsikan pengalaman beliau menjadi Sahabat Maktab bersama suaminya pada haji tahun ini

Baca perkongsian beliau di bawah:

Alhamdulillah, kami diberi peluang untuk menjadi sahabat maktab Tabung Haji tahun 1439H (2018). Tabung Haji sarankan orang orang muda untuk jadi sukarelawan membantu pasukan Tabung Haji sepanjang kami di Makkah dan paling utama semasa haji bermula di Arafah sehingga di Mina.

Ada tiga sahabat sukarelawan untuk jemaah Tabung Haji Muasassah; sahabat maktab, sahabat ibadat dan sahabat medic. Kami ambil sumber inspirasi daripada ayah mertua saya yang menjadi sahabat medic pada musim haji 5 tahun lepas.

Tugas sahabat maktab membantu petugas Tabung Haji persediaan dan sepanjang operasi masyair. Saya pegang kata ini, ‘kita mudahkan urusan orang lain, insyaAllah Allah akan mudahkan urusan kita’.

Album ni saya share situasi dan gambaran sebelum ibadah Haji kami minggu hadapan.

Puan Shikin turut berkongsikan sebuah album bergambar beserta penerangan dalam laman Facebook untuk tatapan orang ramai

Sesi Taaruf dan penyampaian vest dan topi sahabat maktab 84 oleh Syeikh. Saya dan suami KT23B, hotel Land Premium Makkah.

Sahabat Maktab akan ziarah Arafah, Mudzalifah dan Mina seminggu sebelum tiba ibadah Haji 1439H. Cuaca MasyaAllah. Memang hangat. Even berangin pun rasa angin panas. Muka merah tahan kepanasan di bumi Arafah. Dalam ihram next week tak boleh tutup muka, jadi kena bertahan! Sentiasa minum air even rasa tak haus dan spray je muka dengan air. Ibu dah pesan, ambil jer mineral water tuang atas tudung. Sekejap je dah kering.

Ini khemah maktab 84 di Arafah. Tahun ni ada aircond besar di setiap khemah. Alhamdulillah. Tidak seperti tahun tahun yang lepas, hanya kipas angin sahaja disediakan. Tahun ini 2 unit aircond untuk setiap khemah besar di sediakan. Dalam khemah nampak luas, tapi jemaah Haji akan duduk rapat rapat. Nak lunjur kaki pun kena fikir orang kanan kiri. Space terhad. Kena berkongsi tempat. Rasanya cabaran utama di Arafah adalah cuaca yang panas dan kering. Even saya duduk tadi pun rasa panas belakang. Nak pijak pasir pun panas. Banyak kes orang muda dan orang tua dehydrated sampai meninggal dunia. Apa-apa pun berdoa pada Allah mohon perlindungan. Anggap ini sebagai persediaan kita di padang Masyar nanti. Allahuakbar.

Ini dapur di Arafah. Petugas masakan Tabung Haji akan masak makanan untuk 3000 org jemaah haji di dapur ini. Tempat kecil tapi insyaAllah semua jemaah haji takkan kelaparan.

Mudzalifah dimana jemaah haji akan bermabit (bermalam sementara) di sini. Di sini takde khemah tapi alhamdulillah ada kemudahan toilet. Jemaah haji akan berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit. Di sini juga jemaah haji akan mengutip batu batu kecil untuk melontar jamrah Aqabah pada esok hari. Saya di beritahu oleh pihak Muasassah, tahun ini batu batu kecil akan di sediakan dan di beri di hotel sebelum bertolak ke Arafah. Kalau nak lebih, boleh kutip batu di Mudzalifah juga.

Tempat beratur bas di Mudzalifah sebelum ke Mina. Setiap jemaah haji akan diberi nombor bas. Bas 1, bas 2 dan seterusnya. Selalunya jemaah haji akan berebut rebut nak naik bas dulu sebab takut sampai lambat di Mina. Jangan risau, pihak Tabung Haji takkan sesekali tinggalkan jemaah haji. Rasulullah sendiri pernah Subuh di Mudzalifah, jadi lebih afdhal menunggu daripada berebut-rebut dan bertolak-tolak menaiki bas.

Khemah di Mina maktab 84. Tahun ini 1439h special sikit! Khemah banyak di naik taraf kemudahan aircond dan bukan lagi berlantaikan pasir. Alhamdulillah!

Lantai jubin (tiles) baru disiapkan. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, jemaah haji tidur 3 malam beralaskan carpet diatas pasir.

Ini khemah yang sudah diletakkan carpet di atas lantai jubin (tiles). Aircond pun sejuk insyaAllah. Banyak aircond telah dibaiki untuk jemaah haji tahun ini. Disebabkan quota jemaah haji muasassah tahun inji lebih 30,000 orang, kepadatan jemaah haji dalam setiap khemah menjadi cabaran. Nak tidur pun tak boleh terlentang. Kena tidur mengiring seperti jenazah dalam kubur. MasyaAllah. Semoga dipermudahkan.

Ini toilet di Mina. Cabaran utama di Mina adalah toilet. Toilet tak banyak, tapi berkongsi beribu ribu orang jemaah. Harap bersabar. Ustazah Suhana sendiri pernah berkongsi, kena beratur awal walaupun tak rasa nak buang air lagi. Nanti sampai turn kita baru terasa nak buang air. Sampai begitu sekali. Mengikut pengalaman ibu saya, tunggu turn toilet kita sampai kena beratur 30-1jam juga. Kesabaran perlu tinggi. Kita harus bersabar dengan apapun yang terjadi. Allah menjamin akan ada kelapangan untuk setiap kesulitan.

Tinggal beberapa hari lagi sebelum wuquf di Arafah. Rasa berdebar dan excited makin terasa. Takut pun ada jg. Mengharapkan Allah memberi kesihatan yang baik kepada kami semua jemaah haji 1439h, dipermudahkan urusan dan mendapat haji yang mabrur. Sentiasa muhasabah diri dan ingatlah yang Allah tidak akan menguji hambaNya sesuai dengan kemampuannya.

"Ya Allah! Jadikanlah haji mereka haji yang mabrur dan (usaha amal mereka) usaha amal yang diterima (oleh Allah) dan (dosa-dosa mereka) dosa yang diampunkan dan amal kebaikan mereka yang diterima serta pekerjaan yang tidak akan menghancurkan atau merugikan." Amin.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua!

Didoakan juga semoga semua tetamu Allah yang menunaikan haji tahun ini, dipermudahkan segala urusan ibadah di Tanah Suci Mekah dan mendapat haji yang mabrur serta selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air

Image via Giphy

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel di SAYS Seismik:

You may be interested in: