Wanita Ini Kongsi Cara Tunai Haji Dengan ‘Visa Haji Furada’. Tak Perlu Tunggu Giliran Dah!
Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental.
Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ianya dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijjah
Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijjah.
Firman Allah SWT: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa untuk sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, ayat 97)
Ibadat haji hanya diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan fizikal dan juga mental. Allah SWT membuka ruang dan memudahkan semua hambaNya menziarahi, mendekatkan diri dan bermunajat kepadaNya serta memohon limpah rahmatNya dan hidayahNya.
Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan tempat dalam menunaikan haji bukanlah sesuatu yang mudah
Ini kerana setiap individu yang berdaftar dengan Tabung Haji perlu menunggu giliran mereka yang mana mengambil masa hingga puluhan tahun lamanya.
Bagaimanapun, ia bukanlah perkara yang mustahil untuk dilakukan. Seperti yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Masnira Ramli baru-baru ini, beliau menggunakan kaedah Visa Haji Furada untuk ibu bapanya untuk menunaikan haji.
Apakah visa haji furada?
Berikutan dari status saya malam tadi, ramai yang bertanyakan saya tentang visa haji furada ni. Saya jawab di sini secara ringkas ya.
Visa Haji Furada adalah visa haji yang dikeluarkan terus kepada wakil-wakil travel agensi tanpa melalui kuota dari Tabung Haji.
Kenapa saya berniat untuk membawa mak abah guna visa furada? Kenapa tak nak melalui tabung haji?
Sebab kalau ikutkan giliran mereka masih terlalu lama. Lagipun saya mahu mereka mengerjakan haji dalam keadaan fizikal yang masih kuat.
Sejak melihat sendiri bagaimana orang-orang yang sudah berumur dan tidak lagi kuat dari segi fizikal mereka, saya sudah memasang niat, Mak & abah saya mesti buat haji semasa mereka masih sihat. Bukan mudah untuk melaksanakan rukun haji jika fizikal mental tidak kuat.
Siapa yang layak memohon visa ini dan bagaimana caranya untuk mendapatkan visa furada?
Sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk memohon.
Perlu berhubung dengan mana-mana wakil travel yang menyediakan pakej-pakej haji ini. Saranan saya kenal & pasti dahulu syarikat mana yang kita pilih. Jangan tidak tahu, ada ya yang tertipu dengan visa furada ni. Ambil masa untuk selidik dan berhati-hati lah.
Berapa harga untuk mendapatkan visa ini?
Ini bergantung kepada pakej haji yang kita pilih. Ianya pula bergantung kepada jumlah hari, penginapan di makkah, dan juga penginapan di Arafah dan Mina.
Ada yang berharga bermula 30k sehingga ke ratusan ribu ringgit sesuai dengan perkhidmatan yang bakal kita terima nanti.
Kenapa perlu berhabis banyak untuk mengerjakan haji?
“Perbelanjaan untuk haji sama seperti perbelanjaan di jalan Allah iaitu 700 kali ganda."
Maka, kalau yang berkemampuan eloklah kita utamakan yang wajib. Kalau yang belum mampu, kita ada satu lagi cara iaitu USAHA & DOA...
Jom sama-sama kita kerjakan haji ketika kita masih lagi sihat dan kuat inshaAllah.