Wanita Korea Bercakap Kepada SAYS Tentang Cintanya Terhadap Malaysia Dan Bahasa Melayu
"Saya suka bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaupun tak berapa fasih, tapi saya tetap nak cuba."
Video Wanita Korea di bawah ini mungkin boleh jadi video paling comel yang anda saksikan hari ini. Cuba tekan play dan lihat sendiri:
Comel kan?
Tak pernah pula kami lihat perempuan Korea cakap Bahasa Melayu. Inilah yang kali pertama. Kalau perempuan Melayu cakap Bahasa Korea tu dah ramai sangat. Orang kita kan terlalu gilakan drama-drama Korea dan juga muzik Kpop. Betul tak?
Tapi kali ini terbalik pula. Teruja juga rasanya bila kami lihat dengan mata kami sendiri.
Menerusi ruangan komen, video yang dimuat naik pada 12 Julai 2015 ini mendapat lambakan pujian yang memberangsangkan dari rakyat Malaysia. Jujurnya, kami pun rasa Wanita Korea ini berhak diberi pujian. Setuju?
Disebalik percakapan pelat dan wajah jelita, siapa sebenarnya Wanita Korea ini?
Bercakap secara eksklusif bersama penulis kami Farouq Johari, beliau memberitahu sedikit sebanyak tentang dirinya dalam satu temubual pendek
"Nama saya Luveve. Saya berumur 24 tahun dan kini tinggal di Seoul, Korea. Saya sukakan negara Malaysia dan berharap untuk berkunjung ke sana tidak lama lagi. Saya juga suka bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaupun tak berapa fasih, tapi saya tetap nak cuba."
Luveve memberitahu tujuan beliau membuat video di YouTube adalah untuk berkongsi budaya, ingin tahu lebih lanjut mengenai Malaysia, dan ingin lebih berinteraksi dengan rakyat Malaysia melalui media sosial
"Saya seorang gadis Korea biasa yang suka mengembara dan mengenali budaya dan adat resam lain. Bagi saya, ada sesuatu tentang negara Malaysia yang yang sangat istimewa yang saya sendiri tak tahu bagaimana nak luahkan."
"Saya sukakan orangnya, saya sukakan cuacanya, saya sukakan alam semulajadinya, tapi yang paling saya suka semestinya makanan Malaysia! Semuanya sedap-sedap belaka. Sekarang saya sangat rindukan makanan di sana."
Setelah menamatkan sekolah di Amerika Syarikat, Luveve menyambung pelajarannya di sebuah universiti di Singapura. Ketika itulah beliau mula menjejakkan kaki ke Malaysia dan terus jatuh cinta dengan keindahan negara ini.
"Dulu, saya mendapat peluang untuk bersekolah di peringkat highschool di Amerika Syarikat. Pengalaman tinggal di sana selama beberapa tahun sangat membantu saya untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Maklumlah di Korea, bahasa ini tidak begitu ditekankan di sekolah. Sebab itu tidak ramai rakyat Korea yang fasih berbahasa Inggeris."
"Selepas tamat highschool, saya melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di Singapura. Masa itulah saya mula melangkah keluar dan pergi menjelajah negara jiran yang paling dekat sekali. Hanya sebuah jambatan yang memisahkan diantara dua negara ini."
"Saya dah beberapa kali pergi ke Johor Bahru tetapi belum berkesempatan untuk singgah di Kuala Lumpur. Saya sangat look forward untuk datang ke KL pada masa akan datang."
"Pada mulanya, saya tak tertarik untuk belajar Bahasa Melayu. Tapi..."
"Mula-mula saya datang ke Malaysia, saya tak tertarik untuk belajar Bahasa Melayu. Niat saya hanya untuk melancong, melawat tempat-tempat menarik, dan menyaksikan sendiri negara itu dengan mata kasar saya. Macam orang lain juga."
"Tetapi segalanya berubah selepas saya dapat bertemu dengan orang Malaysia yang baik-baik. Mereka sangat peramah dan sudi melayan saya. Dan sekarang, saya sudah ada ramai kenalan di Malaysia."
"Dari situ, saya mula pelajari Bahasa Melayu sedikit demi sedikit. Daripada tak faham apa-apa, kini saya dah boleh bertutur! Tapi saya masih belum fasih dan saya mengaku tahap bahasa saya masih jauh dari sempurna. Banyak lagi yang saya perlu pelajari. Tapi apa yang menarik ialah Bahasa Melayu tidaklah sesukar yang saya sangka."
Luveve, 24, berharap agar beliau dapat menguasai pertuturan Bahasa Melayu dalam masa 6 bulan lagi. Walau bagaimanapun, beliau agak kesal kerana tiada satu pun buku Bahasa Melayu di Korea.
"Sebenarnya, ramai orang Korea yang nak belajar Bahasa Melayu. Cuma yang saya kesal, tiada satu pun buku Bahasa Melayu di Korea. Yang ada pun hanyalah buku-buku lama yang dah lapuk. Tetapi buku untuk belajar Indonesia ada banyak, tapi bukan buku Bahasa Melayu."
"Saya juga cuba cari kelas Bahasa Melayu secara online, tetapi hanya terdapat kelas bahasa Indonesia. Apa yang salah di Korea? Tidak hairan mengapa tiada orang korea yang boleh bercakap bahasa Melayu. Fakta ini sangat menyedihkan saya."
Apabila ditanya tentang nama penuhnya, Luveve hanya menjawab "Maafkan saya. Saya rasa tidak perlulah saya dedahkan nama sebenar saya kepada umum."
"Panggil saja Luveve. Saya tak nak dedahkan nama sebenar saya kepada orang ramai. Cukuplah orang kenal saya dengan nama Luveve atau Wanita Korea. Itu sudah memadai."
Apa-apa pun, terima kasih Luveve kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Teruskan usaha belajar Bahasa Melayu dan kami tak sabar nak lihat peningkatan kualiti percakapan anda di masa hadapan. #Kipidap #Dongibab
Layari Facebook Luveve dan YouTube Wanita Korea untuk maklumat lebih lanjut tentang si cantik ini.