‘Mummy Sakit’ - Ibu Penghidap Kanser Janggal Meninggal Dunia Pada Hari Kanser Sedunia
Sedihnya Ya Allah...
Baru-baru ini telah tular berita di mana seorang ibu kepada empat orang anak telah menghembuskan nafas terakhir akibat kanser
Arwah dikenali sebagai Hasnita Mohd Rosli dipercayai seorang penghidap sejenis kanser yang jarang berlaku telah menemui ajalnya pada 4 Februari 2020 yang lalu. Paling menyedihkan, tarikh tersebut merupakan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit tersebut.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today, arwah telah meninggalkan seorang suami, Adi Asral Abdul Rashid, anak perempuan mereka berusia 14 tahun, anak kembar lelaki 7 tahun dan anak lelaki bongsu 6 tahun.
Arwah merupakan seorang perunding IT dikatakan telah menghadapi serangan kedua sejenis kanser yang jarang berlaku sehingga merebak ke tulang beliau
Oleh disebabkan itu, arwah tidak boleh duduk lama kerana sakit yang teramat dan beberapa bulan sebelum itu, beliau disahkan telah pulih daripada “high grade neuroendocrine breast carcinoma” iaitu sejenis kanser yang hanya menyerang 0.3% penduduk di dunia.
Setelah itu, arwah menjelaskan bahawa anak-anaknya terpaksa dipindahkan ke tempat lain ketika dia sedang menjalani rawatan selama 8 bulan dan berita buruk kembali melanda mereka sekeluarga apabila setelah 6 bulan mereka kembali hidup bersama, arwah mendapat berita bahawa dirinya menghidap kanser payudara Tahap 4.
Biarpun begitu, arwah masih kuat untuk menghadapi berita buruk itu secara tenang dengan adanya sokongan suami tercinta, anggota keluarga dan rakan-rakan rapatnya. Malah, arwah turut memberitahu FMT bahawa selepas berita ini, dia temui lebih ramai kawan dalam beberapa bulan ini berbanding 20 tahun sebelum ini.
“Selepas menghidap kanser, saya lebih dekat dengan Tuhan dan daripada menangis, saya melakukan perkara lebih penting yang memberikan saya ketenangan jiwa,” katanya.
"Mummy sakit..."
Arwah menjelaskan perasaan hiba ketika memberitahu kepada anak-anak yang masih kecil tentang isu kesihatan yang dihadapi.
“Saya masih tidak dapat membayangkan akan meninggalkan mereka. Saya perlu memikirkan cara bagaimana untuk mempersiapkan mereka apabila saya telah tiada.
“Saya harap mereka akan ingat bahawa ‘mummy’ sayang mereka, dan ‘mummy’ sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka, dan ‘mummy’ sentiasa berada dalam hati mereka. Penyokong mereka paling kuat,” kata arwah.
Di bawah merupakan video temu bual bersama arwah Hasnita di mana beliau menjelaskan serba sedikit tentang penyakit yang dihadapi serta mesej buat keluarga tercinta: