Warga Emas Digalakkan Ambil Vaksinasi Bagi Elak Komplikasi Serius Akibat Wabak Influenza
Ayuh, sama-sama kita bertindak sekarang untuk melindungi warga emas daripada influenza!
Untuk makluman anda semua, difahamkan kes wabak virus influenza ketika ini semakin berleluasa dan meningkat di Malaysia
Bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah orang dewasa dan warga emas turut berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Gejalanya sama seperti virus Covid-19 iaitu demam, batuk, sakit tekak dan sakit-sakit badan atau sakit kepala.
Jadi, kes ini amat serius kerana mereka mungkin akan mendapat komplikasi seperti serangan jantung, radang paru-paru dan juga strok.
Tapi, tak semua orang sedar bahawa perkara ini boleh membawa maut kalau anda tak ambil vaksinasi.
Vaksinasi ini tak boleh tumpu pada kanak-kanak saja, orang yang dah berumur pun perlu ambil dan tak boleh abaikan sebab mereka lebih terdedah kerana sistem imun boleh menurun apabila mereka dah berumur.
Rata-rata warga emas juga mudah dijangkiti disebabkan mereka ada sejarah penyakit lain
Menurut Pakar Perunding Geriatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Rizah Mazzuin Razali, antara penyakit lain yang dialami oleh warga emas adalah seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, ada sejarah strok, masalah penglihatan, pendengaran, demensia dan bermacam masalah lain.
Malah, ada kajian yang dibuat dan menunjukkan 10 hingga 20 peratus warga emas dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital disebabkan jangkitan paru-paru yang teruk.
Jadi, ia memang amat membimbangkan dan bertambah sukar kalau mereka tak ambil vaksinasi untuk mengelakkan jangkitan ini.
Kesan influenza ini mampu beri risiko yang lebih tinggi buat warga emas
Selain daripada penyakit yang sedia ada, lebih kurang tujuh daripada 10 individu yang berumur 65 tahun ke atas menghadapi risiko yang lebih tinggi terhadap komplikasi influenza seperti pneumonia dan keradangan jantung.
Menurut Dr Rizah Mazzuin, warga emas biasanya mengalami komplikasi kesihatan paling teruk akibat influenza sebab sistem imun mereka semakin menua (immunosenescence) dan lebih banyak komorbiditi kesihatan.
Sebagai contoh, jangkitan influenza boleh memicu pelbagai mekanisme yang mempengaruhi kesihatan jantung seperti keradangan, aritmia (ritma jantung tidak teratur) dan penyempitan saluran darah. Jadi, ia adalah kombinasi yang amat berbahaya buat mereka.
Warga emas juga perlu lebih dilindungi dan mendapat vaksinasi untuk elak komplikasi serius
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pun mengesyorkan vaksinasi influenza tahunan untuk kurangkan risiko penyakit, kemasukan ke hospital serta kematian.
Kalau anda nak tahu, Malaysia secara rasminya adalah negara yang semakin menua, dengan lebih 3.8 juta rakyatnya berumur 60 tahun dan ke atas. Ia bersamaan hampir 11.3% daripada populasi kita semua.
Jadi, kita perlu fikirkan apakah impak angka ini terhadap masa depan kita. Menjelang 2030, tak mustahil angka ini akan meningkat lebih 15% bukan?
Kebanyakan negara lain termasuk Thailand, Laos, Filipina dan Singapura pun dah mula ambil langkah proaktif dan menawarkan vaksin influenza percuma kepada warga emas bagi mengurangkan risiko penyakit, kemasukan ke hospital dan kematian.
Berita terkini baru-baru ini juga menunjukkan bahawa hospital semakin penuh disebabkan oleh peningkatan kes influenza.
Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa turut menegaskan bahawa pemberian vaksinasi influenza tahunan secara percuma juga adalah sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat terutama warga emas.
Jadi, negara kita Malaysia pun kena juga ambil contoh dari negara-negara ini sebab warga emas berhak dilindungi, termasuk mereka yang tidak mampu mendapatkan vaksinasi influenza.
Bertindak sekarang untuk melindungi warga emas daripada influenza
Warga emas di Malaysia malangnya kurang ambil perhatian terhadap kes influenza dan pengambilan vaksinasi juga masih rendah walaupun ia memberi kesan yang teruk.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), vaksinasi influenza bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak 1945, pelbagai penyelidikan sudah pun dilakukan terhadap vaksin influenza dengan penyelidikan meluas yang membuktikan keselamatan penggunaannya.
Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk sign petisyen ini bagi melindungi kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.
Untuk pengetahuan anda, vaksinasi influenza ini juga boleh menyelamatkan nyawa dan ada pelbagai bukti bahawa vaksinasi influenza berpotensi untuk mencegah komplikasi serius dan kematian. Ia juga membantu kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas.
Jadi, jom sama-sama sign petisyen yang dibuat tanda anda sokong dengan pemberian vaksin ini. Semoga dengan langkah yang diambil ini mampu menggenggam erat tangan yang telah membantu membina negara tercinta ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!