Warga Malaysia Dah Boleh ‘Travel’ Kanada Tanpa Visa? Ini Apa Anda Perlu Tahu
Ia bergantung kepada tahap manakah anda berada untuk layak mendapatkan kelebihan ini.
Cover image via Andrej Ivanov/AFPFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jika anda teruja menemui berita mendakwa Kanada telah menggugurkan keperluan visa untuk rakyat Malaysia, anda dinasihatkan untuk bertenang kerana ada lebih butiran lanjut disebaliknya
Walaupun khabar tersebut dilihat sebagai berita gembira, kebanyakan rakyat Malaysia masih lagi memerlukan visa untuk memasuki Kanada.
Satu laporan yang dikongsi secara meluas oleh CIC News, yang menggambarkan pihaknya sebagai laman web berita imigresen Kanada terbesar, mendakwa 'Kanada akan menggugurkan keperluan visa untuk warganegara Indonesia dan Malaysia'.
Kenyataan yang berkemungkinan boleh mengelirukan orang ramai ini menyebut 'warganegara yang layak' dari kedua-dua negara akan dibenarkan untuk 'menikmati perjalanan bebas visa ke Kanada'.

Walau bagaimanapun, itu bukanlah apa yang diumumkan oleh Kanada pada 25 Mei lalu
Menteri Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada, Lena Metlege Diab mengumumkan bahawa warganegara Indonesia dan Malaysia yang layak kini boleh memohon Electronic Travel Authorisation (eTA) dan bukannya visa pelawat penuh semasa terbang ke Kanada.
eTA merupakan pas perjalanan dalam talian yang hanya berharga CAD7 (RM20) dan biasanya diluluskan dalam beberapa minit. Ia dipautkan secara elektronik ke pasport pemohon dan sah sehingga lima tahun.
Sememangnya kedengaran seperti berita baik. Dan bagi sesetengah rakyat Malaysia, ia benar-benar sebuah khabar yang gembira. Tetapi kata kunci dalam pengumuman itu ialah 'layak'.

Siapakah yang sebenarnya layak?
Untuk memohon eTA dan bukannya visa penuh, anda perlu memenuhi salah satu syarat berikut semasa permohonan:
- Anda memegang visa penduduk sementara Kanada (TRV) pada bila-bila masa dalam tempoh 10 tahun yang lalu, atau
- Anda kini memegang visa bukan imigran AS yang sah
Jika anda tidak memenuhi mana-mana syarat, tiada apa yang berubah untuk anda.
Pihak berkuasa imigresen Kanada, IRCC menggambarkan kumpulan ini sebagai 'pengembara yang dikenali', bermaksud orang yang telah diperiksa oleh perkhidmatan imigresen Kanada atau AS.
eTA secara dasarnya merupakan laluan pantas untuk orang yang telah melepasi pemeriksaan imigresen utama sebelum ini.
Macam mana kalau tidak mempunyai salah satu syarat tersebut?
Anda masih memerlukan Visa Pelawat Kanada standard, sama seperti sebelumnya. Ini bermakna:
- Permohonan dalam talian melalui portal IRCC
- Bayaran sebanyak CAD100 (RM288), ditambah yuran biometrik CAD85 (RM245)
- Temujanji secara bersemuka di pusat VFS Global di Kuala Lumpur untuk menghantar cap jari dan gambar anda
- Penantian pemprosesan selama beberapa minggu. IRCC mengesyorkan permohonan sekurang-kurangnya lapan minggu sebelum tarikh perjalanan anda
Tiada jalan pintas. Tiada perubahan.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian
Walau bagaimanapaun, rakyat Malaysia yang layak untuk eTA masih memerlukan visa pelawat penuh jika mereka memasuki Kanada melalui darat atau laut, memandu merentasi AS, atau tiba dengan kapal persiaran. eTA hanya terpakai untuk perjalanan udara.
Jika anda layak untuk eTA, anda boleh memohon terus di laman web rasmi IRCC.
Jika anda memerlukan visa pelawat penuh, mulakan permohonan anda lebih awal dan tempah temu janji biometrik VFS Global anda lebih awal, kerana slot sentiasa penuh.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


