WarnaRaya X KLCC Raya Runway 2027 Bakal Himpunkan Pereka Fesyen Serantau Di KLCC
WarnaRaya X KLCC RAYA RUNWAY 2027 dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Januari 2027.
Cover image via KLCC Convention CentreFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Majlis pra-pelancaran eksklusif WarnaRaya X KLCC RAYA RUNWAY 2027 (WarnaRaya) telah disempurnakan baru-baru ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
Acara ini menandakan fasa permulaan penganjuran edisi kedua pameran fesyen serantau berskala besar yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Januari 2027, iaitu dua minggu sebelum ketibaan bulan Ramadan.
Sesuai sebagai acara persiapan Aidilfitri, WarnaRaya bermatlamat untuk menyatukan penggiat industri kreatif, pereka fesyen, jenama tempatan, serta usahawan selebriti dari rantau Asia Tenggara termasuk Singapura, Indonesia, dan Brunei di bawah satu platform bersepadu.

Pengasas WarnaRaya, Shariza Mahzlan, berkata edisi 2027 membawa transformasi signifikan daripada sekadar bazar jualan biasa kepada platform fesyen bersepadu yang menyediakan runway eksklusif di samping bazar berskala besar.
"Untuk edisi 2027, kami mensasarkan lebih 90 gerai jualan atau vendor dan lebih 50,000 pengunjung. Mereka yang akan menyertai WarnaRaya ialah gabungan daripada barisan pereka fesyen terkenal tanah air, usahawan SME dan jenama selebriti serantau.
"WarnaRaya akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Di dewan utama (Main Hall), akan berlangsung pertunjukan fesyen berprestij, manakala di dewan pameran akan berlangsung jualan bazar besar-besaran," katanya.
Selain pertunjukan fesyen di dewan utama, usahawan kreatif yang menyertai bazar turut berpeluang memperagakan koleksi terbaharu mereka di atas pentas mini runway fashion show. Pengunjung bazar juga berpeluang memenangi tiket eksklusif untuk menyaksikan pertunjukan fesyen di dewan utama.
Empat pereka fesyen tersohor sebagai duta WarnaRaya
Acara pra-pelancaran ini turut diserikan dengan perkongsian empat pereka fesyen tersohor tanah air yang dilantik sebagai duta WarnaRaya dan bakal memperagakan rekaan mereka di pentas utama:
- FIZIWOO: Menyifatkan WarnaRaya sebagai hab sehenti bertaraf antarabangsa. FIZIWOO bakal mempertaruhkan kira-kira empat koleksi khas Ready-to-Wear (RTW) merangkumi pakaian lelaki dan wanita (menswear dan womenswear). Bagi FIZIWOO, platform yang menggabungkan pentas runway profesional dan booth jualan di bawah satu bumbung ini amat ideal bagi memperkenalkan rekaan eksklusif kepada pasaran tempatan dan serantau.

- Rizman Ruzaini: Menekankan strategi merapatkan jurang antara pereka dan peminat menerusi platform digital. Mereka membawakan koleksi Ready-to-Wear premium beranggaran harga RM400 hingga RM500 yang mengekalkan DNA eksklusif dan kualiti butik bagi memenuhi permintaan peminat fesyen tempatan.

- Datuk Radzuan Radziwill: Mempertaruhkan konsep 'Contemporary Malay' dengan corak cetakan eksklusif (trademark prints). Rekaan beliau berkonsepkan versatiliti tinggi agar praktikal digayakan sepanjang tahun bukan sahaja untuk Syawal, malah bagi pelbagai majlis keraian dan perkahwinan.

- Abu Shaef Hamza: Mengangkat kekayaan warisan tekstil Nusantara seperti songket dan batik yang kini mendominasi trend semasa. Beliau memadukan seni tradisi tersebut bersama palet warna moden bagi membuktikan identiti budaya serumpun sentiasa malar segar dan relevan buat generasi muda.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


