Panggung Wayang 'Patuh Syariat' Di Terengganu Ini Asing Tempat Duduk Lelaki & Wanita. Wow!
Peraturan itu juga turut dikenakan terhadap pengunjung bukan Islam.
Panggung wayang sering dijadikan pilihan ramai individu untuk beriadah bersama keluarga atau teman-teman
Sudah tentu, tujuan utama pengunjung pergi ke panggung wayang adalah untuk menonton filem terbaru keluaran produksi tempatan atau luar negara.
Ketika ini, semua pengunjung bebas untuk memasuki wayang tersebut tanpa mengira jantina dan juga ikatan perhubungan yang ada sesama mereka.
Mudah untuk disimpulkan, pengunjung bebas untuk duduk bersama siapa tanpa sebarang halangan.
Walau bagaimanapun, sebuah syarikat rangkaian pawagam di Terengganu ini telah mula melaksanakan panggung wayang patuh syariat
Pawagam yang dimaksudkan adalah Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square.
Untuk makluman, ia telah melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki dan wanita bukan mahram dan juga keluarga sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan, pelaksanaan peraturan baharu itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan baharu itu kepada semua pelanggan yang berkunjung ke tempat berkenaan.
“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah,” katanya.
Zulmajdi kemudiannya memberikan penjelasan berhubung peraturan baru tersebut. Ia meliputi beberapa perkara termasuklah pengasingan di antara lelaki dan perempuan bukan mahram, keluarga, dan juga mengikut keluasan panggung.
“Bagi panggung wayang yang keluasannya agak kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan yang agak luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga namun bergantung kepada keadaan semasa di mana terdapat juga pengunjung lelaki atau wanita ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan menjaga batasan antara satu sama lain,” katanya.
Bukan itu sahaja, peraturan tersebut dikenakan terhadap semua pelanggan termasuk pengunjung bukan Islam.
Info tambahan: Ketika ini sebarang tempahan tiket di pawagam tersebut hanya boleh dilakukan secara manual iaitu di kaunter wayang sahaja.