Yayasan PEKEMA Sumbang RM600,000 Untuk Lebih 500 Asnaf & Pelajar Tahfiz Menjelang Syawal
Selain menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang, anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi turut disantuni dalam program berkenaan.
Menjelang Syawal yang bakal tiba, Yayasan PEKEMA sekali lagi tampil menghulurkan bantuan dengan memperuntukkan RM600,000 bagi membantu anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara untuk membuat persiapan hari raya
Inisiatif tahunan ini menyaksikan lebih 500 penerima menerima baucar membeli-belah dalam satu program khas yang berlangsung di Mydin Mall USJ, Subang Jaya baru-baru ini yang merupakan lokasi pertama sebelum program diteruskan ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
Menurut Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, program tertabit bukan sekadar satu bentuk bantuan material, tetapi juga lambang keprihatinan dan solidariti masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
"Kehadiran kita hari ini bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
"Program ini diharap dapat membawa kegembiraan dan meringankan beban mereka dalam menyambut Syawal," katanya ketika merasmikan program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025 baru-baru ini.
Tidak hanya tertumpu di Selangor, bantuan ini turut diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang bagi memastikan lebih ramai yang dapat merasai manfaatnya.
Setiap seorang daripada anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz yang hadir menerima baucar bernilai RM200
Selain itu, anak-anak asnaf dan para pelajar dari Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, turut disantuni dalam program berkenaan.
Menjadikan Mydin Mall USJ sebagai lokasi utama sesi membeli-belah raya penerima bantuan, program ini turut mendapat sokongan daripada pihak Mydin sendiri. Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin, turut hadir bersama isteri dan barisan kepimpinan PEKEMA bagi menyampaikan sumbangan bersama Yayasan PEKEMA.
Datuk Mohamed Nazari dalam ucapannya menzahirkan harapan agar usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.
"Setiap sen yang disumbangkan dalam program ini adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan harus dikongsi bersama. Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi di masa hadapan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, dengan harapan agar lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan, terutama menjelang musim perayaan.
Dongfeng turut perkenalkan model EV terbaharunya di Mydin USJ
Dalam pada itu, Dongfeng Cars Malaysia edaran anak syarikat PEKEMA, Central Auto Distributors Bhd turut mengambil kesempatan untuk mempamerkan model kenderaan elektrik (EV) baharu mereka, Dongfeng Box, di Mydin Mall USJ, bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat dan merasai sendiri keunikan serta teknologi terkini EV tersebut.
Di kesempatan itu juga, Dongfeng memperkenalkan tawaran istimewa bagi dua model EV mereka, Dongfeng E2dan Dongfeng E3, dengan harga bermula RM78,888 dan RM88,888, namun dalam unit yang terhad.
Inisiatif itu selaras dengan komitmen PEKEMA dalam menggalakkan penggunaan EV di Malaysia dan mendidik masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau untuk masa depan yang lebih lestari.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!