YDM Mahu Tabur Bakti Untuk Komuniti Yang Memerlukan & Golongan Kurang Bernasib Baik
Untuk rekod, YDM kini dianggotai lebih 400 ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang pengalaman dari seluruh Malaysia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Yayasan Datuk Malaysia (YDM) yang baru ditubuhkan sejak dua tahun lalu, memberi tumpuan terhadap usaha untuk membantu golongan dan komuniti yang memerlukan khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan, teknologi dan pertanian
Presidennya, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir berkata, yayasan yang dianggotai lebih 400 ahli itu terdiri daripada pelbagai latar belakang pengalaman, khususnya dalam bidang perniagaan telah bergerak aktif bagi menjayakan setiap aktiviti dan program yang telah di rancang dan akan dianjurkan kelak.
“Yayasan ini ditubuhkan untuk membantu masyarakat yang memerlukan disamping menguatkan lagi perniagaan agar kita dapat memberi kembali kepada orang yang kurang bernasib baik.
“Kita bukan sahaja terbuka kepada semua kaum, tetapi menerima juga sesiapa yang mempunyai perniagaan dan berminat untuk menyertai yayasan ini. Ada yang tidak mempunyai status Datuk tetapi mempunyai perniagaan dan bakal dianugerahkan status tersebut juga diterima sertai kami.
“Selain bidang perniagaan, ahli yayasan ini terdiri dari pelbagai bidang lain antaranya pendidikan, perundangan, politik dan pelbagai lagi profesionalism yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penganugerahan watikah ahli kehormat YDM bagi 23 keahlian baru yang berlangsung di Hotel Concorde Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tekad untuk beri sumbangan kembali kepada komuniti yang memerlukan
Jelas beliau lagi, yayasan ini memiliki objektifnya sendiri dan masing-masing menyimpan hasrat untuk menabur bakti bukan sahaja untuk menganjurkan kerja-kerja amal tetapi juga membantu aktiviti sosial dan persatuan yang meminta pertolongan.
“Dengan pertambahan ahli, ini adalah masa yang sesuai dan tepat bagi kami untuk memberi sumbangan kembali kepada komuniti yang memerlukan,” kongsinya.
Mengulas lanjut mengenai pengumpulan dana untuk kelangsungan yayasan tersebut, Syed Yusof menerangkan, berbeza dengan yayasan lain yang bergantung kepada dana yang diperoleh daripada sumbangan derma orang ramai tetapi sumber kewangan YDM diperkasakan oleh sumbangan daripada ahli-ahlinya.
Untuk rekod, YDM menyasarkan peningkatan 1,000 ahli seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini dan turut bercadang menerbitkan buku yang merangkumi info dan biodata tentang ahli-ahlinya.
Bukan hanya sekadar platform amal, tetapi tempat di mana ilmu dan kebijaksanaan lama bertemu dengan semangat serta visi baru
Dalam pada itu, Penasihat Diraja Yayasan Datuk Malaysia, Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi berkata, YDM bukan sekadar satu entiti amal, tetapi mercu tanda sebuah pergerakan ke arah kegemilangan yang melangkaui batas-batas masa lalu.
"Yayasan Datuk Malaysia tidak hanya berusaha untuk memberi, tetapi untuk mengalirkan arus kebijaksanaan dari generasi ke generasi. Kami memahami bahawa dalam setiap zaman, ada keperluan untuk menjalin kembali ikatan antara hikmat yang diperoleh dari pengalaman panjang para pelopor kita dengan kekuatan, daya hidup, ketabahan, dan kreativiti generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan.
"Di sinilah terletak kekuatan sejati Yayasan Datuk Malaysia. Ia bukan hanya sekadar platform amal, tetapi tempat di mana ilmu dan kebijaksanaan lama bertemu dengan semangat serta visi baru. Kami berpegang teguh kepada prinsip-prinsip asas kedaulatan negara, kesetiaan kepada Raja dan negara, serta amanah yang diembankan oleh pemimpin negara kita pada masa kini.
"Sebagai sebuah masyarakat Madani yang kita banggakan, kita berdiri bersama sebagai satu bangsa, walaupun berbilang kaum, warna, dan agama. Yayasan ini mewakili kepelbagaian yang menjadi kekuatan utama kita. Dengan setiap tindakan kami, kami berhasrat untuk membangunkan dan menyemai kemerdekaan yang sejati, di mana setiap rakyat Malaysia dapat berkembang dan berjaya tanpa mengira latar belakang mereka.
"Saya ingin mengajak semua yang hadir untuk melihat Yayasan Datuk Malaysia sebagai titik permulaan sebuah visi yang hebat. Visi yang tidak hanya berani, tetapi juga mengilhami setiap generasi. Kami percaya bahawa dengan keberanian untuk berubah, dengan semangat untuk membangunkan, dan dengan tekad untuk mengejar keunggulan, kita dapat mewujudkan masa depan yang lebih cemerlang bagi Malaysia yang kita cintai," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!