Sabah Pertimbang Adakan Had Umur Susulan Insiden Warga Emas Maut Turun Gunung Kinabalu
Sebelum ini, seorang lelaki British yang sudah berusia 70-an meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri menuruni Gunung Kinabalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mempertimbangkan peraturan had umur susulan kematian dua warga emas di Gunung Kinabalu awal tahun ini
Menerusi laporan Sabah Media, Menteri KePKAS, Datuk Seri Christina Liew berkata perkara ini bertujuan meningkatkan lagi keselamatan pengunjung dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini di Gunung Kinabalu.
"Ia adalah sesuatu yang kita tidak mahu lihat berlaku. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, dan kami telah meminta Taman-Taman Sabah untuk mengikuti perkembangan kes ini.
"Saya faham beliau agak berumur, tetapi saya tidak mempunyai butiran lanjut. Saya akan berjumpa dengan pihak Taman-Taman Sabah dalam masa terdekat," katanya.
Semua pendaki wajib menjalani latihan dan prosedur operasi standard (SOP) sebelum mendaki Gunung Kinabalu
Menurut Christina, Pusat Latihan Ketinggian Gunung Kinabalu telah dilancarkan tahun lalu dan Taman-Taman Sabah adalah organisasi yang mengendalikan pusat latihan itu termasuk penyediaan modul latihan dan SOP.
"Dalam modul itu mewajibkan semua pendaki melakukan latihan dan melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mendaki," katanya.
Terdahulu, seorang lelaki British dalam lingkungan usia 70-an meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri semasa menuruni Gunung Kinabalu pada 25 Februari lalu.
Sebelum itu, pada 9 Februari, seorang lelaki Malaysia berusia 65 tahun meninggal dunia ketika sedang mendaki gunung bersama isterinya setelah dilaporkan pengsan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!