Ada Niat Nak Melabur? Jom Fahami Apa Itu Simpanan & Pelaburan Patuh Syariah
Jom educate diri sendiri dulu!
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Zaman kini, ramai rakyat Malaysia yang semakin celik dengan ilmu pelaburan
Mungkin disebabkan terlalu teruja nak melabur, ada antara kita yang terlepas pandang tentang pelaburan yang patuh syariah atau pun tidak. Bagi umat Islam, kalau boleh kita nak cari pelaburan yang halal, biar duit yang kita dapat atau simpan itu lebih diberkati.
Sama situasinya jika di bank, tentu pegawai bank akan tanya dahulu sama ada kita nak buka akaun patuh syariah ataupun konvensional. Kita pula kadang-kadang hanya melihat dari segi pulangan dan keuntungan sahaja dan tidak melihat adakah ianya patuh syariah ataupun tidak.
Perbezaan patuh syariah dan konvensional
Apa yang membezakan pelaburan atau simpanan konvensional dan patuh syariah adalah dari segi akadnya.
Bagi konvensional, kita akan berikan duit kita kepada bank atau pengurus dana untuk mereka uruskannya. Jadi, apa-apa yang diberikan itu adalah berasaskan kontrak pinjaman dan dia ada pulangan dalam bentuk bunga atau faedah. Itulah yang kita lihat sebagai satu bentuk riba yang sememangnya haram dalam Islam.
Image via Loan Streets
Dalam Islam pula, duit bukanlah satu bentuk komoditi atau aset. Berbeza dengan emas atau perak yang mempunyai nilai tersendiri. Duit kalau diberi pinjam, ia tidak boleh menghasilkan keuntungan dan sebagainya. Tapi dalam sistem konvensional ia dibenarkan.
Jadi, bila kita membuat simpanan patuh syariah, ia bukan sebagai kontrak pinjaman tetapi dipanggil sebagai Akad Wadiah. Bagi akaun simpanan bagi tujuan pelaburan pula dikenali sebagai akaun Mudharabah. Ia bermaksud keuntungan daripada pelaburan kita akan dikira berdasarkan keuntungan yang dijana oleh pihak bank.
Seperti KWSP, terdapat juga jenis simpanan konvensional dan patuh syariah. Jadi, sebagai orang Islam adalah lebih baik beralih kepada simpanan yang patuh syariah.
Kelebihan pelaburan patuh syariah
Menurut Najmuddin Mohd Lutfi, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment Management Berhad, di Malaysia mempunyai badan-badan yang memantau dan juga memperjelaskan kepada institusi kewangan, masyarakat dan pelabur mengenai produk-produk yang berlandaskan syariah dan juga yang konventional.
Sudah tentu orang Islam akan tertarik dengan produk patuh syariah. Selain itu, jelas Najmuddin aktiviti pelaburan patuh syariah ini tidak mempunyai unsur-unsur yang haram seperti perjudian dan sebagainya. Jadi, kenyakinan para pelabur itu ada dan tidak was-was ke mana wang mereka digunakan untuk tujuan pelaburan.
Image via Arabian Business
Dalam pada itu, Najmuddin turut menjelaskan tentang kelebihan menggunakan pelaburan patuh syariah. Menurutnya, risiko pelaburan patuh syariah adalah lebih terjamin. Sebagai contoh, selain melihat dari segi aktiviti yang berlandaskan syariah, pelaburan ini juga akan melihat syarikat-syarikat yang dilaburkan itu mempunyai hutang yang tinggi ataupun tidak.
Syarikat yang mempunyai hutang tinggi adalah berisiko tinggi untuk kita laburkan. Jadi, terdapat garis panduan yang akan dilihat sama ada syarikat itu sesuai untuk dilaburkan ataupun tidak.
Selain itu, dari segi urus tadbir, ketelusan urus tadbirnya juga akan dilihat kerana sebagai pelabur sudah tentu kita mahukan pelaburan jangka panjang. Syarikat yang mempunyai pengurusan yang baik sudah tentu mempunyai risiko yang rendah untuk jangka masa panjang. Jadi, bagi produk patuh syariah, selain aktiviti pelaburan, risiko pelaburan juga akan dipantau.
Apa perlu dibuat sebelum mula melabur?
Sebagai pelabur, kita perlu ada sasaran berapa pulangan yang kita mahu. Selain daripada laporan kewangan, nilai sesebuah syarikat atau perniagaan juga perlu dilihat kerana ia berkaitan dengan pengurusan syarikat.
Image via Berita Harian
Perkara pertama sekali adalah kita memaksimumkan pelaburan dalam akaun ASB. Sesudah itu, kita pertimbangkan pula untuk labur dalam unit amanah sebelum kita nak pergi ke pasaran saham yang risikonya lebih tinggi.
Pelbagai dana unit amanah boleh dipilih yang sesuai dengan strategi pelaburan kita. Bagaimanapun, yang baiknya pengurusan pelaburan itu dilakukan oleh pengurus dana yang bertauliah dan mempunyai kelulusan daripada suruhanjaya sekuriti.
Apa yang penting, sebelum nak mula melabur di mana-mana tempat, pastikan kita mempunyai duit simpanan kecemasan dahulu. Bila simpanan kecemasan dah cukup, barulah kita guna duit lebihan untuk tujuan pelaburan. Jangan melabur sekiranya itu sahaja duit yang kita ada.
Semoga penerangan ini bermanfaat untuk anda mulakan pelaburan yang patuh syariah. Kalau terlepas perbincangan topik ini,klik link ini untuk dengar lebih lanjut.
Penulis: Hamka
Kool FM memberi anda segala berita terkini, isu-isu semasa yang trending dan juga berita hiburan yang terbaru.
Dengarkan topik menarik di Kool FM dengan hanya klik di SINI!
Image via Kool FM
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik di SAYS Seismik:
Leave a comment