Anak Mangsa Tanah Jerlus Luah Rasa Terkilan, Tak Sempat Tunjuk Tatu Nama Ibu Di Lengan
Sudah masuk hari keenam dan mangsa masih belum dijumpai.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Anak kepada mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat menunjukkan tatu baru yang tertulis nama si ibu pada lengannya
Menurut laporan Harian Metro, mangsa masih belum ditemukan pada hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam, 27 Ogos 2024.
M.Suria, 25, berkongsi kepada media bahawa tatu nama ibunya Vijayaletchumy dicacah pada lengan kiri ketika percutiannya di Thailand baru-baru ini.
"Saya terkilan sebab ibu tidak sempat lihat tatu yang saya buat di tangan khas untuknya.
"Ibu segalanya untuk saya, apa jua saya lakukan semua untuknya sebab itu bila saya cacah tatu di tangan ini, nama beliau adalah pertama yang terlintas di fikiran saya.
"Tapi saya tak sangka ini yang terjadi. Saya tak sempat tunjuk betapa sayangnya saya pada ibu," luahnya.
Image via Berita Harian
Ibu ada hubungi tapi tak diangkat kerana telefon kehabisan bateri
Suria berkata kali terakhir beliau bercakap dengan ibunya adalah pada awal pagi hari kejadian.
"Saya hubungi dia pukul 1.30 pagi pada hari kejadian dan beritahu saya mencacah tatu nama dia...ibu sangat gembira dan saya dapat rasakan nada gembira melalui suaranya itu.
"Pada pagi sebelum ibu jatuh, dia ada menghubungi saya, tetapi disebabkan telefon saya kehabisan bateri saya tidak dapat bercakap dengannya," katanya.
Sejurus mendapat khabar sedih itu, Suria terus bergegas masuk ke negara ini dari Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dan menempuh lebih 476 kilometer untuk ke ibu negara.
Image via Sinar Harian
Menurut Suria, beliau dan keluarga berharap jasad ibunya ditemukan segera dan mahu disemadikan di kampung mereka di Kuppam, Andhra, India.
"Saya tidak mahu ibu terseksa, sudah lima hari kejadian dan kami sudah reda," katanya lagi.
Pada Jumaat lepas, wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment