Dihukum Penjara 13 Tahun & 2 Sebatan, ADUN Tronoh Didapati Bersalah Rogol Pembantu Rumah
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pada pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu
Menurut laporan, Choo Kiong, 51, yang juga Bendahari Parti Bangsa Malaysia (PBM) dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu terhadap Choo Kiong selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini, mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu memasukkan penyataan pembelaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, pada 6 Disember lalu.
Image via Bernama
Kronologi kes ADUN Tronoh rogol pembantu rumah
Tertuduh pada 23 Ogos 2019, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol wanita warga Indonesia berusia 25 tahun di rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Pada 28 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lalu.
Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 November lalu.
Sebelum ini, kes itu disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Image via Astro Awani
Sebagai rekod,Choo Kiong memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket DAP sebelum keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2020 sebagai ahli bersekutu.
Terkini, beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sejak Januari lalu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment