Lelaki Nafi Cederakan Mata Hingga Buta Untuk Dapat Pampasan Insurans Bernilai RM1 Juta
Tertuduh didakwa melakukan permohonan tuntutan insurans kemalangan disyaki palsu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth semalam atas pertuduhan sengaja mencederakan mata untuk mendapatkan pampasan insurans berjumlah RM1 juta pada Jun, tahun lalu
Menerusi laporan Harian Metro, tertuduh bernama Tan Kok Guan,52 tahun turut didakwa memperdayakan syarikat insurans dengan membuat tuntutan insurans disyaki palsu.
Bapa kepada tiga orang anak itu yang cacat mata kiri mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika dua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin dihadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan permohonan tuntutan insurans kemalangan disyaki palsu iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kiri untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM1 juta.
Difahamkan, kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Gajah, di sini antara jam 9 pagi hingga 6 petang, 8 Jun 2023.
Image via Harian Metro
Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memperdayakan syarikat insurans dengan membuat tuntutan insurans disyaki palsu sehingga mendorong syarikat itu memasukkan wang tunai RM4,153.57 ke dalam akaun milik tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Paya, di sini, antara 9 pagi hingga 6 petang, 20 Julai 2023.
Pendakwaan bagi dua kesalahan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda.
Image via Harian Metro
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreena Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam Yaw Xinying.
Semasa prosiding, Airina Syazreena menawarkan jaminan RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi tertuduh.
Namun, Xinying yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan minima diberikan atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja, selain hanya mengharapkan pendapatan isteri untuk menyara mereka lima sekeluarga.
"Anak guam saya kini seorang OKU apabila dia buta pada mata kiri dan sudah tidak bekerja sejak tahun lalu.
"Dia juga menghidap penyakit jantung dan strok. Selain itu, dia juga memberi kerjasama sepanjang pihak polis menjalankan siasatan," katanya.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:
Leave a comment