"Malaysia Berdepan Jurang Besar" - Bank Dunia Dapati 6 Graduan Rebut Satu Jawatan Tinggi
Difahamkan, wujud ketidakpadanan kemahiran di antara graduan baharu dan kemahiran sebenar yang diperlukan pasaran pekerjaan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bank Dunia mendapati, Malaysia berdepan jurang besar di antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan yang tersedia setanding kelayakan mereka apabila satu kekosongan jawatan berkemahiran tinggi kini direbut oleh enam graduan
Menurut laporan Berita Harian, Ahli Ekonomi Bank Dunia, Alyssa Farha Jasmin berkata, perkembangan itu menunjukkan wujud kekurangan peluang pekerjaan kemahiran tinggi di negara ini.
Malah, wujud ketidakpadanan kemahiran di antara graduan baharu dan kemahiran sebenar yang diperlukan pasaran pekerjaan.
Sekiranya situasi itu berterusan, beliau berkata tahap guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran atau 'underemployment' yang meningkat secara ketara boleh menjejaskan kemajuan untuk Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi secara mampan.
Image via Berita Harian
Kajian HRD Corp juga menunjukkan kira-kira 82 peratus majikan melaporkan pekerja sedia ada tidak cukup mahir atau berpengalaman
Laporan terkini Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia ke-30 yang dikeluarkan pada Oktober 2024 menunjukkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran di negara ini, meningkat kepada 37.3 peratus pada 2022 berbanding 27.2 peratus pada 2010.
"Satu kajian dibuat Bank Dunia pada 2020 juga melaporkan lebih 40 peratus syarikat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan menghadapi kesukaran mencari pekerja yang mempunyai kemahiran kepimpinan, komunikasi, menyelesaikan masalah dan kemahiran umum teknologi maklumat (IT)," katanya.
Beliau berkata, keadaan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran itu juga wujud apabila ramai pencari kerja mungkin tertarik waktu kerja yang fleksibel menyebabkan mereka berminat pekerjaan berkaitan ekonomi gig, sekali gus menjauhi pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, dalam ekonomi gig, pekerja bebas bekerja di mana-mana sahaja dan bila masa mereka mahu, malah ada yang mampu menjana pendapatan sama dengan pekerjaan formal.
Bagaimanapun, katanya, pekerjaan dalam ekonomi gig lazimnya memerlukan tenaga fizikal yang tinggi dan sangat berisiko.
Contohnya, jika berlaku kemalangan di jalan raya, mereka tidak mempunyai akses kepada skim perlindungan sosial dan mungkin tidak dapat bekerja untuk tempoh yang lama dan menyebabkan mereka menganggur.
"Jadi, jika isu ini berlarutan, Malaysia mungkin menghadapi peningkatan pengaliran keluar pekerja mahir. Ini akan mengurangkan produktiviti dan ini akan meningkatkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang berleluasa yang menjadi halangan kepada kemajuan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya lagi.
Dapatan oleh Bank Dunia itu juga dilihat sejajar kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini yang mendapati realiti pasaran kerja bagi graduan universiti di Malaysia, kekal suram dengan gaji permulaan graduan baharu hampir tidak berubah dalam dekad yang lalu.
Kajian KRI menunjukkan pada 2021, sebanyak 60 peratus graduan baharu menerima gaji bawah RM2,000 bagi pekerjaan pertama mereka, berbanding 61 peratus pada 2010.
Walaupun jumlah individu berpendidikan tinggi terus meningkat, pertumbuhan pekerjaan mahir tetap tidak berkembang sejak 2002, menjadikan isu terlebih kelayakan sebagai kebimbangan utama.
Kajian yang sama turut mendapati bahawa satu pertiga daripada graduan berpengalaman terus kekal dalam situasi ketidaksepadanan kelayakan, manakala satu perempat lagi masih bergaji rendah sejak pekerjaan pertama mereka akibat daripada memulakan kerjaya dengan pekerjaan di bawah kelayakan dan bergaji rendah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment