"Graduan Jangan Memilih Kerja, Elak Kekal Jadi Penganggur Terhormat" - Titah Agong
Baginda bertitah bahawa sikap terlalu memilih bukan sahaja merugikan diri graduan sendiri tetapi turut memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-100, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan para graduan agar tidak bersikap terlalu memilih kerja dan segera merebut peluang ada
Khususnya, dalam menghadapi saingan sengit dengan pekerja asing. Menurut laporan Sinar Harian, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sikap terlalu memilih bukan sahaja merugikan diri graduan sendiri tetapi turut memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.
"Jika terlalu memilih pekerjaan, para graduan akan kekal menjadi pengganggur terhormat dan peluang yang ada akan direbut pekerja asing. Akibatnya awak semua, dan negara yang akan rugi.
"Sebagai generasi baharu yang bakal memimpin negara, saudara-saudari hendaklah menolak sikap buruk ini.
"Budaya dan sikap bergantung hidup boleh membunuh keyakinan diri serta semangat untuk memajukan diri, akhirnya ia akan membenam usaha negara untuk terus maju," titah Seri Paduka Baginda.
Titah Sultan Ibrahim setiap individu, termasuk generasi muda, pegawai kerajaan dan ahli politik perlu berani melakukan perubahan dalam diri terlebih dahulu untuk memastikan kemajuan yang lebih besar dapat dicapai demi masa depan bangsa dan negara.
Seri Paduka Baginda seterusnya menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas usaha membina generasi graduan yang kompeten dan berharap universiti itu akan terus memainkan peranan sebagai pusat ilmu yang memacu kemajuan bangsa.
Pada majlis itu, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM yang ketujuh. Turut berangkat ke istiadat ialah Pro-Canselor UitM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!