Lelaki Keluar Beli Roti Canai Tak Bawa MyKad, Dipenjara Sebulan Sebelum Dibebaskan
Individu berusia 24 tahun itu dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan diperintahkan supaya diusir keluar dari Malaysia.
Cover image via Daily Express & BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun keluar membeli roti canai tanpa membawa MyKad dimasukkan ke dalam penjara selama sebulan selepas disyaki sebagai warga asing
Menerusi laporan Daily Express, Azlanshah Mahathir, seorang pekerja pengendalian kargo, telah ditangkap pada 11 Oktober dan didakwa memasuki Malaysia tanpa pas masuk yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dia mengaku bersalah, walaupun tidak jelas terhadap atas pertuduhan apa, dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 20 Oktober. Dia juga diperintahkan untuk dirujuk bagi tujuan pengusiran keluar dari negara ini setelah selesai menjalani hukuman.
Walau bagaimanapun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kemudiannya menjalankan pengesahan cap jari biometrik pada 5 November, yang mengesahkan bahawa Azlanshah merupakan seorang warganegara Malaysia.
Susulan penemuan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji telah memfailkan permohonan semakan jenayah di bawah Seksyen 323 dan 325 Kanun Tatacara Jenayah.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa pertuduhan imigresen tersebut serta sabitan yang dikenakan terhadapnya adalah tidak sah kerana dia sebenarnya merupakan seorang warganegara Malaysia.

Azlanshah Mahathir.
Image via Daily ExpressMahkamah Tinggi telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara terhadapnya
Pada Rabu, 25 November, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Steve Ritikos telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara lima bulan terhadap Azlanshah, sekali gus membolehkannya dibebaskan selepas menjalani hukuman selama kira-kira sebulan.
Mahkamah juga mengarahkan supaya namanya diperbetulkan daripada Azlan Shah Mahadir kepada Azlanshah Mahathir dalam semua rekod rasmi.
Bercakap di luar bilik mahkamah selepas dibebaskan, Azlanshah menyatakan bahawa dia menerima apa yang telah berlaku dan menganggap pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran hidup, sambil berjanji untuk sentiasa membawa MyKad ke mana sahaja mulai sekarang.
Di bawah Peraturan 6 dan 7(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, warganegara dan penduduk tetap yang berumur 12 tahun ke atas diwajibkan membawa kad pengenalan pada setiap masa dan mengemukakannya serta-merta apabila diminta oleh pegawai yang diberi kuasa, seperti anggota polis atau pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1), yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Gambar sekadar hiasan.
Image via BernamaLike Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


