Guru Sebak, Calon SPM Kehilangan Ibu Tercinta Sejurus Selesai Menjawab Kertas Peperiksaan
Salam takziah buat adik ini dan keluarganya, semoga mereka terus tabah.
Cover image via @azwaeiyta (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang guru tidak dapat menahan rasa sebak apabila mengetahui anak didiknya, Alisyia, kehilangan ibu tercinta sejurus selepas selesai menduduki kertas Pendidikan Islam (PAI) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam
Menerusi perkongsian di Threads, guru berkenaan menyifatkan Alisyia sebagai seorang pelajar yang baik, lemah lembut, menghormati guru dan disenangi ramai.
Menurutnya, dia tidak dapat membayangkan betapa beratnya perasaan yang perlu ditanggung pelajar itu apabila menerima berita duka berkenaan ketika sedang berjuang menghadapi peperiksaan penting dalam hidupnya.
Guru tersebut turut menitipkan doa agar Alisyia diberikan kekuatan untuk meneruskan baki peperiksaan SPM serta memperoleh kejayaan meskipun sedang melalui ujian yang begitu berat.

Perkongsian itu mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menyampaikan kata-kata semangat dan doa buat Alisyia
"Ya Allah, besarnya dugaan adik ini. Semoga terus diberikan kekuatan untuk menjawab kertas SPM yang lain. Kami semua doakan adik terus berjaya dunia dan akhirat. Kuat-kuat dik, adik boleh. Sampaikan peluk sayang kami pada adik ini, cikgu," tulis @cik_tyra90.
Sementara itu, pengguna @izzlaramungawan turut memberikan kata-kata semangat dengan menyifatkan Alisyia sebagai seorang anak yang hebat dan mampu menghadapi ujian tersebut.
"Allah tidak pernah salah memilih. Dia anak yang hebat, pastinya bahu dia cukup kuat menggalas kesedihan itu. Awak hebat dik. Habiskan peperiksaan hingga ke garisan akhir," komennya.
Pengguna @anamariana_1110 pula berharap agar pelajar berkenaan diberikan ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menduduki peperiksaan.
"Semoga anak ini diberi kekuatan dan ketenangan hati, dipermudahkan urusan. Semoga menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Salam takziah, al-Fatihah buat arwah ibunya," tulisnya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


