Semua Sekolah Kini Perlu Ada Guru Bimbingan & Kaunseling Terlatih Mulai Tahun 2027
KPM memansuhkan syarat bilangan murid yang ditetapkan sebelum ini bagi memastikan setiap sekolah mempunyai guru bimbingan dan kaunseling yang terlatih.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kesemua 10,259 sekolah di seluruh negara perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru bimbingan dan kaunseling terlatih di bawah satu dasar baharu bermula tahun depan
Menerusi laporan New Straits Times, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas, menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan telah memansuhkan syarat terdahulu yang menetapkan sesebuah sekolah perlu mempunyai sekurang-kurangnya 350 orang murid untuk melayakkannya mendapat seorang guru bimbingan dan kaunseling terlatih.
Dasar sebelum ini menyebabkan kira-kira 5,100 buah sekolah, terutamanya sekolah-sekolah yang lebih kecil, tidak mempunyai guru kaunseling terlatih.
Walau bagaimanapun, Zainal menjelaskan bahawa sekolah-sekolah tersebut bukannya langsung tidak mempunyai sokongan kaunseling, memandangkan guru-guru sedia ada telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan tersebut setelah menerima latihan asas dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Di bawah dasar yang disemak semula, kementerian akan menempatkan guru bimbingan dan kaunseling terlatih secara berperingkat di baki 5,100 buah sekolah, dengan penempatan bermula pada Januari 2027
"Penempatan akan bermula seawal tahun 2027, dan kami akan meneruskan penempatan secara berperingkat sehingga kesemua 5,100 buah sekolah mempunyai guru terlatih," katanya.
Zainal menambah bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah bersetuju untuk memperuntukkan jawatan yang diperlukan, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan sedang menjalankan temu duga bagi merekrut lebih ramai guru kaunseling terlatih.
Sebahagian calon yang sudah berada dalam kumpulan pengambilan suruhanjaya tersebut dijangka akan ditempatkan di sekolah-sekolah seawal Januari tahun hadapan.
Di bawah aturan yang disemak semula ini, sekolah yang mempunyai lebih daripada 500 orang murid juga layak menerima seorang guru kaunseling tambahan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata kementerian sedang berinteraksi dengan universiti awam untuk meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang-bidang yang berkaitan
Kementerian juga sedang meneroka kerjasama dengan institusi swasta bagi membantu melahirkan lebih ramai guru bimbingan dan kaunseling yang terlatih, demi memenuhi permintaan di seluruh negara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via