Detik Cemas Di Rumah, Bayi Berusia Enam Bulan Parah Gara-Gara Diserang Monyet Liar
Penduduk menggesa pihak berkuasa ambil tindakan segera susulan daripada kejadian itu.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang bayi lelaki berusia enam bulan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka selepas diserang seekor monyet liar di kediamannya di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, Selangor

Menurut laporan Berita Harian, mangsa, Ahmad Ayyash Adyan, dikatakan berada di rumah ketika diserang haiwan berkenaan sebelum ibunya, Nur Elyana Batrisha Mohammad Farid, menyedari kejadian itu.
Insiden dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam sebelum bapa mangsa segera membawa bayi berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Serangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Menurut maklumat penduduk setempat, kejadian serangan monyet di kawasan berkenaan dilaporkan sudah melibatkan lebih 10 mangsa setakat ini.
Penduduk mendakwa mereka sebelum ini telah membuat laporan mengenai gangguan haiwan berkenaan, namun masih belum melihat sebarang tindakan penyelesaian diambil pihak berkuasa
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya ibu bapa yang risau akan keselamatan anak-anak mereka.
Ini kerana kanak-kanak sering bermain di kawasan hadapan rumah pada waktu petang, sekali gus berisiko menjadi mangsa serangan haiwan liar tersebut.
Penduduk berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu sebelum lebih ramai menjadi mangsa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, beliau turut meluahkan rasa sedih selepas melihat keadaan bayi yang menjadi mangsa serangan monyet liar itu
"Rasa nak pecah dada tengok gambar bayi yang diserang monyet liar," katanya.
Beliau memaklumkan sudah ke pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor bagi menyampaikan aduan supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Pada masa sama, beliau berharap pihak berkenaan dapat bertindak dengan pantas dan menyelesaikan masalah tersebut secara menyeluruh.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar sentiasa menjaga keselamatan diri serta keluarga, selain berharap kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


