Raih Pencapaian Cemerlang, Pelajar Autisme Terima Anugerah Pingat Emas Daripada USM
Difahamkan, pelajar itu telah memperoleh pekerjaan sebagai penganalisis data di Pulau Pinang.
Cover image via 光明日報 Guang Ming Daily (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang anak kepada penoreh getah dari Segamat, Johor, yang didiagnosis menghidap autisme pada usia 4 tahun, telah menerima pengiktirafan atas kecemerlangan akademiknya pada majlis konvokesyen ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM)
Menerusi laporan New Straits Times, Ong Zhi Lin, 24, telah menerima Pingat Emas USM untuk Pelajar Kurang Upaya selepas menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.82.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) itu juga telah memperoleh pekerjaan sebagai penganalisis data di sebuah syarikat kurier di Pulau Pinang, mula berkhidmat sejak bulan Ogos lalu.
"Ramai rakan saya tidak menyedari atau mengetahui bahawa saya berada dalam spektrum autisme. Saya juga mengikuti pendidikan di sekolah aliran perdana sehingga ke peringkat STPM.
"Saya bersyukur dan gembira dapat bekerja dalam bidang yang saya minati. Sejak kecil lagi, saya memang gemar dengan nombor dan mendapati ia mudah untuk mengingati maklumat yang berkaitan dengannya," katanya.

Ong berkata beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikuti pengajiannya dengan memberikan tumpuan semasa kuliah serta mengulang kaji pelajaran selama dua hingga tiga jam setiap hari
Beliau juga mendapatkan maklumat tambahan melalui carian dalam talian dan kerap meminta pensyarahnya menjelaskan topik-topik yang tidak difahaminya sepenuhnya.
"Kadangkala, apabila pensyarah bercakap terlalu laju atau slaid pembentangan mereka mengandungi terlalu banyak teks, saya berasa sukar untuk mengikuti apa yang diajar. Oleh itu, saya mencari maklumat tambahan di laman web atau YouTube, atau meminta pensyarah menjelaskan semula topik tersebut supaya saya dapat memahaminya dengan lebih baik.
"Bagi saya, tugasan dan proses pembelajaran bukan sekadar menghafal sesuatu, malah tentang bagaimana kita boleh mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh untuk menyelesaikan masalah," kata Ong, yang juga aktif dalam pelbagai kelab dan persatuan universiti, termasuk kelab catur.
Ibu bapa pelajar itu pada mulanya berasa bimbang tentang perkembangan pertuturannya yang lewat semasa dia masih kecil.
"Dia hanya mula bercakap pada usia 7 tahun, selepas dia bersekolah. Walau bagaimanapun, sejak kecil lagi, dia sangat mahir mengingati tarikh. Jika kami bertanya kepadanya pada hari apa sesuatu acara sekolah berlangsung, dia mungkin tidak tahu hari apa dalam minggu itu, tetapi dia akan ingat tarikhnya," kata ibu graduan tersebut.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


