Bekas Juara Renang China Tinggalkan Dunia Sukan, Kini Gembira Berniaga Bersama Suami

Difahamkan, pasangan itu menjual dengzhanggao, kudapan tradisional dari Wenzhou.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bekas juara renang kebangsaan China yang pernah berlatih bersama pemenang pingat emas Olimpik, Sun Yang, mengakui kehidupannya kini lebih membahagiakan selepas beralih menjadi peniaga makanan jalanan

SAYS.com
Image via Harian Metro

Menurut laporan Harian Metro, Yang Fan, 33, mencuri perhatian apabila video memaparkan dirinya mengusahakan gerai makanan ringan goreng bersama suami di kawasan Xibeijiao, Tianjin.

"Melihat keadaan saya sekarang, anda pasti tidak akan menyangka bahawa saya pernah menjadi juara kebangsaan," katanya.

Difahamkan, pasangan itu menjual dengzhanggao, kudapan tradisional dari Wenzhou yang diperbuat daripada adunan tepung beras dan diisi dengan bahan seperti daging lembu serta lobak putih.

Mereka mula membawa resipi kampung halaman suaminya, Wang Haichao, ke Tianjin pada Mei lalu sebelum membuka gerai pada 1 Ogos

Yang mula menjalani latihan renang profesional ketika berusia enam tahun bersama pasukan wilayah Hunan. Dia kemudian memenangi acara 800 meter gaya bebas wanita pada Kejohanan Renang Musim Bunga Kebangsaan Zon Selatan 2006.

Pada 2007 dan 2008, dia turut berlatih bersama skuad kebangsaan, termasuk Sun Yang yang kemudian muncul sebagai juara Olimpik.

Walau bagaimanapun, Yang bersara pada 2009 selepas menduduki tempat kedua dalam kejohanan kebangsaan yang menjadi medan pemilihan atlet ke Sukan Olimpik 2008. Dia kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Pengajian Asing Tianjin menerusi program khas atlet.

Menurut Yang, kehidupan sebagai peniaga makanan kini memberikan kebahagiaan yang tidak semestinya diperoleh ketika bergelar atlet

SAYS.com
Image via South China Morning Post

"Atlet juga manusia biasa, bukan? Apabila kami kembali menjalani kehidupan seperti orang lain, kami ada keluarga dan kerjaya sendiri. Saya rasa sangat gembira kerana inilah kerjaya dan kehidupan saya sekarang," katanya.

Dia turut menegaskan bahawa perubahan kerjaya itu bukan bertujuan meraih simpati di media sosial, sebaliknya merupakan pilihan yang dibuat dengan rela hati.

Yang berkata, kehidupan selepas bersara sebagai atlet tidak semestinya semewah yang dibayangkan masyarakat. Malah, ada bekas atlet yang kurang berjaya terpaksa berdepan masalah kewangan dan hutang.

Katanya, bintang sukan yang sering mendapat perhatian umum hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan komuniti atlet.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS