Ibu Bapa Atau Penjaga Wajib Hadir Ke Sekolah Untuk Ambil Bantuan Awal Persekolahan RM200

Perdana Menteri menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Cover ImageCover image via Anwar Ibrahim & Serikigrenggam

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak sekolah mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 bagi tahun hadapan secara terus kepada ibu bapa, dengan mewajibkan mereka hadir secara fizikal ke sekolah anak masing-masing untuk menerima bantuan tersebut

Berucap pada majlis pelancaran Inisiatif AI Pendidikan Kebangsaan di Putrajaya hari ini, 25 November, Anwar menyatakan bahawa wang tersebut tidak seharusnya dihantar ke rumah ibu bapa, memandangkan langkah ini juga bertujuan menggalakkan penglibatan ibu bapa yang lebih aktif dalam pendidikan anak-anak mereka.

Beliau turut berpesan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, supaya tidak memberikan wang tersebut kepada murid yang ibu bapanya gagal hadir, lapor Berita Harian.

"Kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah kerana kita nak ibu bapa tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat.

"Dia harus tahu yang membantu mendidik anak-anak mereka itu ialah guru dan kalau tak datang ke sekolah, (Menteri Pendidikan, Datuk Seri) Fadhlina (Sidek), jangan bagi wang itu," katanya.

SAYS.com
Image via Hazreen Mohamad/Berita Harian

Anwar mencadangkan agar pihak sekolah menganjurkan program khas bagi menghimpunkan guru, murid dan ibu bapa semasa penyampaian bantuan kewangan

Beliau berkata, pertemuan sebegini memberi peluang kepada guru untuk memaklumkan ibu bapa mengenai perkembangan, tingkah laku dan kemajuan anak-anak mereka di sekolah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada pihak sekolah, memandangkan mereka juga memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin dan sahsiah anak-anak.

"Jangan serahkan semua kepada sekolah. Ibu bapa juga harus ditegur demi tanggungjawab," katanya.

Anwar turut menekankan bahawa pendidikan tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada kecerdasan akademik dan pemerolehan ilmu pengetahuan.

Beliau menyatakan bahawa pendidikan juga harus membantu melahirkan individu yang mempunyai sahsiah yang baik, berdisiplin, serta memiliki nilai-nilai moral.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS