Pasar Raya Mydin Di Manjoi Hangus Terbakar - “Struktur Tidak Stabil & Berisiko Runtuh"
Allahuakbar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi, Perak kini dilaporkan hangus terbakar, semalam
Menerusi laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.09 malam.
Katanya, maklumat awal yang diterima memaklumkan terdapat kepulan asap kelihatan keluar dari bilik papan suis utama pasar raya itu yang berada di tingkat dua.
Susulan itu, beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian.
Sayani berkata, operasi pemadaman api dijangka memakan masa kerana terdapat banyak bahan yang dikategorikan sebagai 'fire load' atau muatan api.
"Ia membantu kemarakan api seperti bahan fabrik kain baju, perkakasan elektrik, serta bahan yang disimpan dalam stor, selain panel solar yang turut menjana tenaga elektrik untuk premis terbabit.
"Operasi pemadaman turut berdepan kesukaran kerana berlaku runtuhan struktur yang rapuh akibat dimamah api hingga menyebabkan operasi pemadaman sukar dijalankan secara 'offensive'.
"Kita turut menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) iaitu pemadaman daripada kawasan atas bumbung secara defensif," katanya.
Lampu terpadam, berkelip-kelip sebelum berlakunya kebakaran
Lampu di sebahagian tingkat dua terpadam manakala sebahagian lain berkelip-kelip sebelum turut terpadam.
Kata pengawal keselamatan di pasar raya besar Mydin di Kampung Manjoi, di sini ketika menceritakan detik kebakaran yang berlaku kira-kira 6.50 petang, semalam.
Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, keadaan itu menyebabkan pasukan juruteknik penyelenggaraan premis itu ditugaskan untuk mencari punca situasi lampu terpadam dan berkelip.
Katanya, pemeriksaan mendapati nyalaan api di kawasan stor di tingkat dua pasar raya itu.
Menurutnya, pihak pengurusan pasar raya kemudian segera mengarahkan pengunjung mengosongkan pasar raya, selain menghalang pelanggan baru memasukinya.
"Dalam tempoh 15 hingga 20 minit kemudian selepas semua berjaya keluar, barulah api kelihatan mula membakar bangunan pasar raya.
"Kebakaran turut disusuli bunyi letupan," katanya.
Image via Harian Metro
Berlaku runtuhan ketika operasi pemadaman api sedang berjalan
Bagaimanapun, ketika operasi pemadaman, berlaku runtuhan yang mana bahagian kanan bangunan membabitkan dinding atas runtuh sepenuhnya.
"Pasukan pemadaman segera diarahkan keluar demi keselamatan mereka sendiri.
"Jadi strategi disusun semula agar kita 'serang semula' secara defensif memandangkan keadaan sekarang struktur bangunan yang tidak selamat untuk anggota kita masuk.
"Ia kerana struktur khususnya bahan besi yang semakin rapuh selain faktor pencahayaan yang gelap," katanya lagi.
Sebagai rekod, keseluruhannya sebanyak 123 keanggotaan membabitkan pelbagai agensi termasuk 70 anggota dan pegawai bomba, 22 polis serta anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Lembaga Air Perak (LAP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditugaskan bagi operasi pemadaman itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!
Image via SAYS Seismik
Baca lagi artikel menarik di SAYS Seismik:
Leave a comment