Percaya Atau Tidak, RM10,000 Menanti Kepada Sesiapa Yang Berjaya Namakan Anak Tapir Ini
Pertandingan itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
RM10,000. Itulah jumlah wang tunai menanti pemenang yang berjaya menamakan anak tapir betina dilahirkan di 99 Wonderland Park Wildlife In The City
Menerusi laporan, pemiliknya iaitu Datuk Seri Jeff B.K Lee berkata, pertandingan Namakan Baby Tapir Kami itu dianjurkan bagi menarik minat rakyat Malaysia bersama meraikan kelahiran tapir atau Tenuk Malaysia (Tapirus indicus).
"Pemenang peraduan akan diumumkan pada 27 April 2021 sempena perayaan Hari Tapir Sedunia. Bagi mereka yang berminat boleh kunjungi Facebook atau laman web https://linktr.ee/99wonderlandpark untuk maklumat lanjut," katanya.
Tambahnya, pihak mereka telah mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim untuk meminjam dan mempamerkan kepada pengunjung sepasang Tapir Malaysia, iaitu Mr Junior dan Puan Peradong, Januari tahun lalu.
Image via Penang City Web
Serahkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberi nama kepada anak tapir tersebut
Menurut beliau, selepas lebih setahun dipelihara dan dipamerkan di sini, Puan Peradong baru saja melahirkan anaknya itu.
Oleh kerana itu, beliau telah serahkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menamakannya. Nama yang terpilih nanti akan diumumkan dan pemenang diberikan ganjaran wang tunai RM10,000 seperti yang telah dijanjikan.
Sementara itu, 99 Wonderland Park Wildlife In The City yang terletak di Jalan Ipoh Batu 12, masih belum dibuka untuk kunjungan ramai disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa bagi membendung penularan Covid-19.
Image via Harian Metro
"Kami akan maklumkan pembukaannya kepada umum selepas mendapat kebenaran," katanya.Untuk pengetahuan anda, spesis tapir atau Tenuk Malaysia (Tapirus indicus) ini adalah spesis tapir yang terbesar di dunia. Malah, musim mengawan tapir berlaku pada bulan April hingga Jun.
Tempoh kehamilan Tapir Malaysia adalah kira-kira 390 hingga 403 hari yang mana anak pertamanya mempunyai berat sekitar 6.8 kilogram. Kebiasaannya tapir betina akan melahirkan anaknya dengan purata dua tahun sekali. Ketika muda, tapir ini tinggal bersama ibunya selama 6 hingga 8 bulan.
Image via SAYS Seismik
Lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment