Di Kala Ada Yang ‘Cabut’ Tudung, 8 Selebriti Ini Pilih Untuk Bertudung. Alhamdulillah!
Allah SWT sayangkan hambanya yang menutup aurat.
Pada tahun 2019 ini, banyak kita dengar isu 'dehijabbing' di mana wanita yang sebelum ini berhijab memilih untuk tidak lagi berhijab
Isu ini berleluasa baik dalam golongan selebriti Malaysia, influencers mahupun tidak. Menyatakan bahawa mereka 'belum bersedia' dan 'iman tidak kuat' antara alasan yang biasa didengari apabila bertanyakan perihal isu ini.
Namun begitu, dikala ada wanita yang memilih untuk membuka tudung, lain pula ceritanya dengan 8 orang selebriti ini:
1. Jihan Muse
Pelawak dan pengacara terkenal, Jihan Muse telah mencuri tumpuan ramai apabila beberapa foto dirinya mengenakan tudung ketika bercuti bersama keluarganya di Jepun tular di laman sosial. Ekoran perkara itu, rata-rata netizen memuji perubahan Jihan.
Image via Instagram @jihanmuse
“Doakan saya masih diterima untuk bekerja dalam bidang ini lagi sebab saya memang suka kerja saya,” tulisnya di laman Instagram.
Pada masa yang sama, Jihan turut berterima kasih di atas sokongan dan doa orang ramai terhadap penghijrahannya itu.
Image via Instagram @jihanmuse
Menurut Jihan, dia mengakui sudah lama terdetik untuk bertudung namun macam-macam yang mengganggu fikirannya sehingga niat itu tertangguh.
Bagaimanapun keinginannya itu kembali apabila tular #10yearschallenge di Instagram baru membuatkan Jihan terfikir panjang. Selain itu, program penghijrahan Mizz Nina juga turut membantu.
Image via imgur.com
“Ketika tular gambar #10yearschallenge yang membandingkan gambar 2009 dan 2019, saya mula terfikir untuk berubah. Saya juga ada menonton program penghijrahan Mizz Nina.
“Perkara itu turut buka hati saya untuk muhasabah diri dan berubah secara perlahan. Sebenarnya saya tidak berani membuat kenyataan sudah bertudung sepenuhnya kerana tidak tahu dugaan akan datang,” jelasnya.
2. Tunku Hanis
Pelakon Tunku Hanis atau nama penuhnya Tunku Norhanis Tunku Salman telah mula tampil berhijab akhir tahun lepas. Bukan itu sahaja, foto tidak bertudungnya juga tidak lagi kelihatan lagi di laman Instagram miliknya.
Image via Instagram @tunkuhanis
Dalam satu kenyataan, Tunku Hanis mengakui dalam dia meniti usia dewasa, dia semakin mengagumi Allah SWT dan makin dia sedar bahawa kehidupan ini perlu disulami dengan ujian.
Katanya, "Semakin saya dewasa, semakin diri mengagumi setiap inci kerja Tuhan dan tiada yang benar melainkan yang benar iaitu hidup yang tiada ujian seumpama hidup yang tidak dipedulikan Tuhan."
Image via Instagram @tunkuhanis
"Orang yang sentiasa tenang dan sabar dalam setiap dugaan dengan hati yang benar-benar bersih pasti menang!" tambahnya lagi.
3. Norazah Redzuan (Isteri kepada Mark Adam)
Penampilan berhijab dan lebih sopan isteri kepada penyanyi dan pelawak, Mark Adam iaitu Norazah Redzuan selepas pulang dari menunaikan ibadah Umrah awal tahun ini mendapat perhatian ramai.
Image via Instagram @markadam107
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira dengan penghijrahan isteri. Sejak pakai tudung, dia semakin cantik," kata penyanyi tersebut.
Menurut Mark Adam, keputusan berkenaan adalah di atas isterinya sendiri malah tiada sebarang paksaan. Namun, penyanyi ini berharap isterinya akan terus istiqamah dalam memakai tudung.
Tambahnya lagi, "Sejujurnya, saya suka melihat dia pakai tudung. Sebagai suami, saya sangat gembira. Pada awalnya terkejut juga sebab dia tak ada cakap apa-apa pun. Tetapi itu keputusannya sendiri."
Image via Instagram @markadam107
"Paling penting, setiap keputusan dibuat haruslah istiqamah. Saya juga berdoa semoga hubungan kami ini sentiasa dipelihara dan dalam lindungan Allah SWT," ujarnya.
Mark atau nama Islamnya, Mark Adam Fikri Abdullah telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003.
4. Nur Syahirah A. Rahman (Isteri Fad Bocey)
Pelawak, Fad Bocey, bukan sahaja bersyukur bahkan hatinya juga bertambah tenang apabila isterinya, Nur Syahirah, kini memilih untuk berpenampilan berhijab.
Image via Instagram @fadbocey
Disebabkan perubahan ini, rakan artis dan peminat telah memuji isteri pelawak tersebut yang dikatakan makin anggun apabila mengenakan hijab.
Melalui satu perkongsian dalam Instagram milik suaminya, Nur Syahirah telah mendedahkan sebab utama dia mengambil keputusan untuk berhijrah.
Nur Syahirah atau lebih mesra disapa Sya itu berkata bahawa dia kerap bermimpi hari kiamat dan satu persatu ahli keluarga meninggalkannya.
Tambah Sya lagi, memilih untuk memakai tudung bukanlah menunjukkan yang seseorang itu baik dan sempurna namun apabila sudah mula bertudung, ia boleh membawa diri ke arah yang lebih baik.
Katanya, "Tak ada satu pun manusia sempurna tapi kita cuba untuk cari kesempurnaan itu. Tiada paksaan dari suami tapi kenapa kita sebagai isteri tidak boleh korbankan perkara itu?"
Image via Instagram @fadbocey
"Satu ceramah yang saya dengar dari YouTube, tidak akan cium bau syurga bagi seorang wanita yang tidak menutup auratnya. Saya masih belajar dan belum sempurna menutup aurat. Moga ada yang dapat bimbing saya," ujarnya.
5. Nonny Nadirah
Sekembalinya daripada mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci pada Januari lalu, penyanyi dan pelakon, Nony Nadirah telah tampil dengan imej berhijab yang ternyata mendapat pujian ramai.
Image via Instagram @nonnynadirah
Dalam satu temubual bersama Berita Harian, artis kelahiran Kota Kinabali itu berkata, dirinya sendiri masih perlu banyak belajar untuk menjadi Muslimah yang baik.
Image via Instagram @nonnynadirah
Bukan itu sahaja, Nonny juga berkongsikan pengalamannya saat menyarungkan hijab. Pada awalnya, dia yang teragak-agak untuk memakai tudung telah mendapat nasihat daripada ibunya.
Menurut ibunya, jika memang sudah terdetik niat untuk memakan tudung, usah khuatir kerana Allah SWT akan mempermudahkan segala urusan.
“Hidayah memang milik Allah dan daripada Allah tapi kita sendiri yang kena paksa diri kita untuk menguatkan hati kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Berbalik kepada Allah dan minta dengan Allah untuk permudahkan urusan kita dan jangan dibolak-balikkan hati kita,” tulis Nonny dalam laman Instagram miliknya.
6. Eyra Hazali
Pelakon muda, Eyra Hazali, memilih untuk mengenakan hijab pada Februari lalu setelah dihantui rasa bersalah memikirkan kewajipan menutup aurat yang dituntut agama.
Image via Instagram @eyra.hazali
Dalam satu temubual bersama Berita Harian, Eyra mengaku sebelum ini dia ‘berperang’ dengan perasaan sendiri selain hati yang belum cukup kuat untuk berhijab namun berubah hati apabila sepotong ayat Al-Quran.
"Selepas terbaca sepotong ayat berkaitan hidayah yang diberi Allah, selain tidak mahu berterusan memalit dosa kepada bapa jika tidak menutup aurat, akhirnya, subuh kelmarin, saya memutuskan memakai tudung,” katanya
Image via Instagram @eyra.hazali
Eyra yang merupakan tunang kepada penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, menyatakan dia memilih untuk memakai hijab atas kerelaan sendiri, bukanlah kerana mahu berniaga tudung atau hendak kahwin.
Image via Instagram @eyra.hazali
“Keluarga termasuk tunang saya terkejut. Mereka meminta kepastian apakah saya benar-benar bersedia dengan keputusan yang dibuat. Saya sebenarnya bimbang selepas melihat apa yang berlaku sejak kebelakangan ini... Tetapi saya yakin Allah akan bantu," jelasnya.
7. Serina Redzuawan
Sempena bulan Syawal, pelakon dan penerbit, Serina Redzuawan mengumumkan dia kini telah berhijab sepenuhnya.
Image via Instagram @serinaredzuawan
“Alhamdulillah, sempena bulan Syawal yang mulia, saya mengambil kesempatan untuk mengumumkan yang saya telah berhijab sepenuhnya.
“Tidak mudah untuk bertekad, tetapi perlu ada pengorbanan, guru untuk beri tunjuk ajar, semangat dan dorongan daripada keluarga serta sahabat tersayang. Doakan saya istiqamah,” ujar anak kepada chef selebriti popular, Chef Wan itu.
Serina juga berterima kasih kepada Ustazah Asma' Harun yang banyak memberikan inspirasi serta ilmu kepada dirinya.
8. Lisa Surihani
Pada Aidilfitri baru-baru ini, Lisa Surihani dan suaminya, Yusri Abd Halim telah meraikan lebaran di Tanah Suci Mekah.
Image via Instagram @lisasurihani
Setelah kembali dari mengerjakan umrah, Lisa Surihani dilihat tampil dengan imej berhijab. yang mana perkara ini diperkukuhkan lagi apabila pelakon, Intan Ladyana, telah membuat satu posting di laman Instagram turut mendoakan agar pelakon itu kekal istiqamah.
Image via Instagram @intanladyana
Apabila ditanya tuan punya badan perihal perkara ini, Lisa Surihani mengesahkannya namun menganggap keputusan sama ada bertudung atau sebaliknya adalah terlalu peribadi.
“Jauh di sudut hati kecil saya, hal ini (bertudung) memberikan banyak terjemahan dan kesimpulan. Saya agak bimbang apabila ada yang membuat andaian perubahan ini (bertudung) sebagai imej baharu. Bimbang kalau saya terus muat naik foto memakai tudung, seolah-olah mahu meraih pujian sesama insan," kata Lisa kepada Berita Harian.
Image via Instagram @lisasurihani
“Ia sangat peribadi…Sebab itu saya ambil masa yang agak lama untuk memuat naik gambar ini. Saya harap terus istiqomah dalam hal ini dan melakukannya kerana Allah. Jauh sekali atas tekanan atau kehendak sesiapa," ujarnya lagi.
Alhamdulillah.
Moga dengan penghijrahan mereka ini dapat membuka pintu hati selebriti dan wanita lain untuk turut sama menutup aurat. :)
Jadilah macam Raja Permaisuri Agong kita yang manis je bertudung litup!
Lagi artikel di SAYS Seismik:
Leave a comment