[VIDEO] Penyokong Bola Sepak Malaysia Merusuh, Bergaduh Di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan
Rosak harta awam! Sapa nak bayar?! - Netizen.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kecoh tengah malam tadi apabila penyokong bola sepak di Malaysia merusuh dan bergaduh di stesen LRT Bandar Tasik Selatan selepas seri 0-0 dengan Singapura dalam Kejohanan Bola Sepak ASEAN
Menerusi posting yang dimuat naik oleh seorang pengguna di Facebook, beberapa penyokong bola sepak dilihat terlibat dalam kekecohan di stesen LRT Bandar Tasik Selatan berkenaan.
Video rusuhan berdurasi 33 saat itu juga telah mencetuskan kemarahan orang ramai kerana merosakkan harta benda dan pengangkutan awam.
Dalam pada itu, beberapa lelaki dilihat memaksa membuka pintu kereta api yang sudah ditutup dan menarik seorang penumpang keluar, serta membaling barang-barang ke dalam kereta api.
Image via Elyana Chan (Facebook)
Seorang lelaki cuba turut berjaya mendapatkan penghalang jalan dan kelihatan seperti hendak membalingnya, tetapi dihalang oleh seorang anggota polis bantuan di situ.
Malah, ada di antara mereka melontar tong sampah dan menggunakannya untuk memukul pintu kereta api berulang kali.
Di latar belakang video terbabit, suara seorang wanita boleh didengari menjerit: "Woi, ini pengangkutan awam lah, sial!"
Walau bagaimanapun, dalam video tersebut tidak jelas siapa penumpang di dalam gerabak kereta api itu.
Polis kini sedang memburu penyokong bola sepak yang merusuh di stesen LRT Bandar Tasik Selatan
Menurut laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada Lans Koperal PB Hafsan (pengadu) pada pukul 3.40 pagi tadi.
Katanya, pengadu menaiki tren dari Stesen Bukit Jalil menghala ke Sentul Timur lebih kurang 12.03 tengah malam.
“Ketika tren tiba di platform Stesen Bandar Tasik Selatan, terdapat satu kumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlakunya pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku.
“Kemudian, dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Image via Berita Harian
Susulan kejadian itu, bahagian pintu cermin tren mengalami kerosakan dan menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit.
“Pengadu bersama anggota bertugas bertindak meleraikan pergaduhan yang berlaku diantara dua kumpulan.
“Keadaan menjadi terkawal setelah pintu tren tutup dan tren terus beredar dari tempat kejadian,” jelasnya.
Ujarnya, polis bantuan bersama anggota bertugas PB Hakif Danish mengiring penyokong tersebut keluar dari Stesen Bandar Tasik Selatan dengan selamat.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Kita mohon mereka yg terlibat untuk tampil bantu siasatan,” tegasnya.
Sementara itu, Prasarana kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan serta kelakuan agresif terbabit
Pihak pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan dalam meleraikan pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang/Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi.
"Prasarana juga ingin memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi berkaitan insiden ini, dan sedang bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu-individu yang terlibat.
"Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.
"Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami," katanya dalam satu kenyataan rasmi di Facebook.
Lihat video penuh yang tular itu di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment