Walaupun Tewas Dengan Kanser, Namun Guru Matematik Ini Masih Terus 'Mengajar' Di YouTube
Cikgu Hayati telah memuat naik lebih daripada 300 video tutorial berkenaan mata pelajaran Matematik Tambahan di laman YouTube.
Kematian itu adalah sesuatu yang pasti
Bahkan, hidup dan mati diciptakan sebagai ujian buat kita untuk melihat berapa banyak yang telah kita manfaatkan daripada hidup kita dan apa yang kita lakukan ketika kita diuji.
Lebih penting lagi, kita harus sedar bahawa jika bukan kerana mati, maka tiada maknanya kehidupan. Dan kerana kita akan mati, kita perlu memastikan bahawa hidup kita meninggalkan kesan yang bermanfaat.
Dan seharusnya menjadi keinginan semua untuk meninggalkan sesuatu legasi yang baik dan mulia dalam kehidupan ini. Bak kata pepatah melayu, “Harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.”
Seperti guru subjek Matematik Tambahan ini yang walaupun telah meninggal dunia akibat barah payudara, namun masih lagi dikenang kerana legasi yang ditinggalkannya
Image via Facebook Hayati Aini Ahmad
Arwah Cikgu Hayati Aini Ahmad yang lebih dikenali sebagai Cikgu Hayati itu dikatakan telah lama bertarung melawan penyakit yang dihadapinya itu. Walau bagaimanapun, sebelum pemergiannya, Cikgu Hayati telah memuat naik lebih daripada 300 video tutorial berkenaan mata pelajaran Matematik Tambahan di laman YouTube.
Bukan disitu sahaja, beliau turut memuat naik video-videonya ke Facebook, semuanya demi memastikan beliau boleh membantu lebih ramai pelajar untuk memahami subjek berkenaan.
Image via YouTube Hayati Aini
“Isteri saya akan merakamkan video di dalam Bahasa Melayu supaya pelajar-pelajarnya dapat memahami dengan lebih mudah walaupun dia lebih cenderung untuk mengajar subjek ini di dalam Bahasa Inggeris,” jelas Abdul Jalil Daud, suami Cikgu Hayati kepada mStar.
"Selagi video di YouTube itu boleh memberi manfaat buat semua, ambil dan belajarlah melaluinya," tambahnya lagi.
Menurut Abdul Jalil, arwah isterinya juga sanggup melakukan apa sahaja demi membantu para pelajarnya seperti menjawab segala persoalan pelajar meskipun di luar waktu persekolahan
"Dalam apa jua keadaan dia akan cuba penuhi keperluan orang lain berbanding dirinya sendiri," kata Abdul Jalil.
Kenyataan ini turut disokong salah seorang bekas pelajar Cikgu Hayati, Ainal Fadilah yang kini berusia 34 tahun yang mana turut mengingati bagaimana arwah mendidik para pelajar dan berusaha untuk menjadikan sesi pembelajaran menjadi lebih mudah difahami.
"Sebagai bekas pelajar, saya akan terus kongsikan ilmu yang diberikan cikgu di sosial media melalui Facebook dan YouTube untuk kegunaan generasi akan datang agar ia terus berkembang," kata Ainal.
Image via Facebook Hayati Maths Wizz
Cikgu Hayati yang mengajar di SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang telah disahkan menghidap kanser payudara sejak Januari 2017 lagi. Tahap kesihatannya bagaimanapun semakin merudum dan membuatkan Cikgu Hayati terlantar sakit bermula September tahun lalu.
Walau bagaimanapun, pada 11 Mac lalu, Cikgu Hayati akhirnya pergi meninggalkan semua insan tersayang pada usia 46 tahun.
Di bawah adalah antara video yang ditinggalkan Cikgu Hayati:
Semoga video-video beliau dapat dijadikan sebagai panduan buat para pelajar yang memerlukan bantuan untuk memahami subjek Matematik Tambahan. Takziah kepada keluarga Cikgu Hayati.
Lagi artikel di SAYS Seismik:
Leave a comment