Kerajaan Negeri Selangor Pertimbang Umum Cuti Peristiwa Jika Juarai Temasya SUKMA 2026
Cadangan cuti berkenaan akan diusulkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk pertimbangan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri itu berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026
Menurut laporan Berita Harian, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara berkenaan akan dimuktamadkan selepas keputusan kutipan pingat keseluruhan diperoleh malam esok. Menurut beliau, cadangan cuti berkenaan akan diusulkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk pertimbangan.
"Kita on track (di landasan) untuk menjadi juara keseluruhan. Bagaimanapun, kita masih ada baki kira-kira 90 pingat emas untuk direbut pada hari ini sampai esok. Jadi kita fokus, maknanya mana pingat yang masih ada, kita usahakan.
"Pesaing negeri di bawah pun sekitar 40 pingat emas. Kalau mereka boleh dapat 90 pingat itu, mungkin boleh potong Selangor. Jadi kita tak boleh terlalu yakin, kita on track cuma kita minta atlet kita fokus," katanya pada sidang media perkembangan semasa SUKMA Selangor 2026 hari ini.
Terdahulu, Mohd Najwan memaklumkan bahawa Selangor telah berjaya mencapai sasaran awal kutipan 80 pingat emas menerusi acara e-sports Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berpasukan wanita di MPAJ Convention Centre, Ampang Jaya, tengah hari tadi selepas menewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 3-1.
"Kali terakhir negeri ini meraih 80 pingat emas adalah pada penganjuran SUKMA Selangor 1998. Kira-kira 28 tahun yang lalu, kita berjaya menjadi juara keseluruhan di negeri Selangor dengan 80 emas. Insya-Allah, kita akan berjaya mengulangi rekod itu dengan kutipan lebih daripada 80 emas. Tahniah diucapkan kepada semua," katanya.

Mohd Najwan (tiga kanan) meraikan kejayaan kontinjen Selangor mencapai sasaran emas ke-80 pada SUKMA 2026 ketika sidang media di Pejabat Sukan Negeri Selangor (MSNS) hari ini.
Image via BERNAMAInsentif khas atlet rangkul pingat SUKMA bakal disalurkan sebaik temasya tamat
Beliau turut menambah bahawa insentif khas untuk atlet yang berjaya memperoleh pingat akan digerakkan secara rasmi selepas selesai temasya SUKMA.
Temasya SUKMA Selangor yang mula berlangsung sejak 15 Ogos lalu dijadualkan berakhir esok dengan majlis penutup diadakan di Aneka Walk, Seksyen 14. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dijangka hadir mencemar duli ke majlis penutup berkenaan, di samping kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selepas berakhirnya SUKMA Selangor 2026, penganjuran temasya Para SUKMA pula dijadualkan menyusul bermula 5 hingga 14 September ini.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via